Rabu, 20 Jun 2018

Dr Mahathir setuju buka semula kes Altantuya, kata peguam keluarga

Dr Mahathir setuju buka semula kes Altantuya, kata peguam keluarga 
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad percaya terdapat kes yang kuat untuk membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.– Gambar fail The Malaysian Insight,
 
PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad percaya terdapat kes yang kuat untuk membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, namun berkata semua prosedur untuk berbuat demikian perlu mematuhi undang-undang, kata peguam keluarga Shaariibuu, Ramkarpal Singh.

Ramkarpal berkata, Dr Mahathir telah mengarahkan agar semua bukti yang kukuh dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Kami sudah terangkan (pada Dr Mahathir) mengenai kes itu dan beliau bersetuju yang ini adalah kes yang baik dan perlu dibuka semula dan ia perlu mengikut undang-undang.

"Apa yang pasti, terdapat orang lain yang terlibat dengan waran bahawa siasatan itu dibuka dengan segera untuk menyelesaikan perkara itu," katanya selepas mengiringi bapa Altantuya, Setev Shaariibuu bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Setev membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daera Dang Wangi bagi menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dengan lebih dalam peranan yang dimainkan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Musa Safri dalam kes pembunuhan Altantuya.

Semalam, Setev turut mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menggesa beliau membuka semula siasatan.

Ramkarpal berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, mereka tahu siapa yang terlibat.

"Individu yang memberi arahan adalah yang paling bertanggungjawab (dengan pembunuhan) dan ini adalah pandangan saya bahawa individu terbabit atau mereka yang lain yang terbabit perlu diheret ke muka pengadilan."

Ramkarpal berkata sekiranya individu berkenaan didedahkan kerana membunuh Altantuya boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Semuanya bergantung kepada tahap siasatan.

"Sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan seseorang mengarahkan pembunuhan maka individu berkenaan lebih bersalah daripada yang menjalankan pembunuhan itu.

"Saya berharap siasatan akan mendedahkan siapa individu terbabit."

Setev berkata beliau berpuas hati dengan pertemuan yang dibuat dengan Dr Mahathir.

"Saya amat berpuas hati dengan pertemuan itu. Ia umpama pertemuan antara dua ayah.

"Apa pun anak saya telah dibunuh dan perlu ada keadilan."

Altantuya, 28, ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006.

Dipercayai mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan gred tentera C4.

Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - yang pernah menjadi pengawal peribadi Najib - didapati bersalah kerana membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Sirul, yang melarikan diri dari Malaysia pada 2013, kini ditahan pihak berkuasa Australia. Azilah di Penjara Kajang.

Tiada ulasan: