Jumaat, 1 Jun 2018

Bekas cikgu marah Arul Kanda kerana kelirukan rakyat

Bekas cikgu marah Arul Kanda kerana kelirukan rakyat
Arul Kanda Kandasamy diselar bekas gurunya kerana mengelirukan rakyat mengenai 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
SELEPAS tidak henti-henti dikecam orang ramai, Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy kali ini dimarahi pula oleh bekas gurunya semasa di Maktab Tentera Diraja (MTD).

V Chakravarthy yang mengajar Matematik dan jurulatih debat di MTD pada 1970-an berkata beliau amat kecewa dengan Arul sehingga memaksa dirinya menulis surat terbuka mengkritik bekas anak muridnya itu.

"Sebagai bekas guru di MTD, saya amat kecewa dengan dia. Di MTD, kami lahirkan pelajar yang berkaliber tinggi, pemimpin masa depan," kata Cahkravathy, 78, kepada The Malaysian Insight.

"Dia dibayar gaji untuk buat kerja. Mula-mula kerjanya elok, diam-diam cuba menyelesaikan masalah yang rumit.

"Arul kata dia tidak memihak dalam politik tetapi sebenarnya tidak. Dia membuat komen tentang (pemimpin Pakatan Harapan) Rafizi Ramli dan Tony Pua, dan berkempen dengan Barisan Nasional untuk pastikan parti itu kekal berkuasa."

Chakravarthy berkata sebagai seorang profesional, Arul seharusnya tidak melibatkan diri dengan politik.

"Encik Arul Kanda, kamu berkhidmat untuk memimpin atau berkhidmat untuk mengelirukan? 
Mengapa kamu ikut kempen bergerak untuk membela (bekas perdana menteri) Najib Razak walaupun ada banyak bukti mencurigakan yang menunjukkan wang rakyat dicuri?" soalnya dalam sepucuk surat.

Arul ialah pelajar MTD pada 1980-an. Moto sekolah itu ialah "Berkhidmat Memimpin".

Chakravarthy mengajar di sekolah itu sehingga 1978. Beliau tidak pernah mengajar Arul atau bercakap secara peribadi dengannya.

Semasa kempen PRU14, Arul mengadakan siri jelajah menjelaskan mengenai pelan 1MDB menyelesaikan hutangnya. Dalam siri jelajah itu, Arul cuba membersihkan Najib, bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB, daripada sebarang penglibatan dalam skandal itu.

Dalam suratnya, Chakravarthy berkata Arul sudah "salah pilih kuda" dan kini menanggung akibatnya.

Bekas guru itu memaklumkan beliau dapat tahu bahawa Arul sudah membaca surat itu tetapi tidak berkata apa-apa.

Tiada ulasan: