Jumaat, 8 Jun 2018

Bapa Altantuya nak jumpa Mahathir

 
   
Bapa model Mongolia yang dibunuh di Malaysia pada 2009 lalu dijangka akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Langkah itu, kata Setev Shaariibuu dirancang ekoran laporan mengenai kemungkinan salah seorang pembunuh Altantuya itu, Sirul Azhar Umar akan diekstradisi ke negara ini.

Dihubungi melalui peguamnya, Setev memberitahu Malaysiakini dia belum menetapkan tarikh untuk datang ke Malaysia. Namun katanya dia bersedia untuk berangkat dari Ulaanbataar pada bila-bila masa bagi menemui Dr Mahathir.

"Saya harap banyak perkara boleh berlaku," kata Setev.

Pada 9 Mei lalu - iaitu ketika Malaysia mengadakan pilihan raya umum - Setev menyampaikan mesej kepada Dr Mahathir dan rakyat negara ini supaya mengenang Altantuya atau berdepan dengan nasib seperti wanita itu.

Sementara itu peguam Ramkarpal Singh, berkata dia dimaklumkan Setev sedang membuat persediaan bagi menghadiri pertemuan yang dirancang berkenaan.

Katanya Setev mungkin bertolak ke Malaysia dalam tempoh satu atau dua minggu ini.

"Ada banyak keraguan dan kekeliruan dalam kes ini dan ia akan dibangkitkan semasa pertemuan tersebut," katanya.

Bongkar misteri pembunuhan

Anggota parlimen DAP mewakili Bukit Gelugor itu juga berharap kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat motif di sebalik pembunuhan Altantuya.

RCI itu katanya dapat direalisasikan jika perdana menteri memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya siasatan lanjut berhubung pembunuhan berkenaan dapat dilakukan.

Kenyataan Ramkarpal itu dibuat ekoran laporan media asing yang menyatakan Canberra sudah membenarkan Sirul Azhar diekstradisi ke Malaysia.




Perkara itu dilaporkan media Britain, The Guardian yang memetik sumber pihak berkuasa Australia.

Bekas anggota polis elit itu melarikan diri ke Australia selepas dibicarakan atas tuduhan membunuh Altantuya bersama seorang Azilah Hadri.

Dia kemudian ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.

Kedua-dua mereka sudah disabitkan bersalah dan dihukum mati oleh mahkamah Malaysia.

Setev sudah menyaman kedua-dua bekas pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak itu serta kerajaan persekutuan dengan menuntut ganti rugi bernilai RM100 juta ekoran kematian Altantuya.

Kata Ramkarpal dia juga akan berbincang dengan Peguam Negara Tommy Thomas mengenai kemungkinan siasatan kes itu dibuka semula.

Satu lagi kemungkinan ialah menubuhkan RCI.

"Kepulangan Sirul mungkin membongkar misteri siapa yang mahu Altantuya mati serta alasan di sebaliknya," kata Ramkarpal.

Tiada ulasan: