Khamis, 21 Jun 2018

Adik Najib ada syarikat luar pesisir, kata laporan

THE MALAYSIAN INSIGHT
Adik Najib ada syarikat luar pesisir, kata laporan
Everbright Universal Holdings Ltd yang menggunakan Credit Suisse Trust Ltd (Singapura) sebagai penyedia perkhidmatan kewangan menyenarikan Nizak Razak, adik Najib Razak sebagai pemiliknya. – Gambar EPA
 
SEORANG adik Najib Razak merupakan pemilik syarikat luar pesisir yang menggunakan khidmat sebuah syarikat kewangan terlibat skandal 1MDB, lapor Malaysiakini.

Laporan itu mendakwa, Mohamed Nizam Razak merupakan salah seorang pemilik Everbright Universal Holdings Ltd, sebuah syarikat didaftarkan di British Virgin Islands.

Portal itu menyebut, perkara itu diketahui melalui Panama Papers – dokumen yang dibocorkan dari firma guaman Panama, Mossack Fonseca.

Everbright kini menjadi perhatian kerana menggunakan Credit Suisse Trust Ltd (Singapura) sebagai penyedia perkhidmatan kewangan.

Credit Suisse (Singapura) adalah antara empat institusi kewangan yang didenda pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB pada 2016.

Laporan sebelum ini menyebut, banyak syarikat berkaitan 1MDB seperti GoodStar Limited, Tanore Finance Corporation dan Aabar Investment juga diasaskan di British Virgin Islands.

Menurut Malaysiakini, Nizam pada 2016 mendakwa Everbright adalah syarikat pelaburan hartanah yang beroperasi di Amerika Syarikat.

Rekod daripada Panama Papers bagaimanapun tidak menyatakan butiran tentang aset dan liabiliti syarikat Everbright, lapor portal tersebut.

Panama Papers merupakan kumpulan 11.5 juta dokumen mengenai maklumat kewangan lebih daripada 214,488 syarikat luar pesisir yang mempunyai kaitan dengan lebih 140 ahli politik dari 50 negara.

Ia dibocorkan sejak 2015 dan menjadi sumber laporan media untuk mendedahkan syarikat yang digunakan untuk pelaburan wang haram, penipuan dan mengelak cukai.

Kepulauan British Virgin Islands merupakan antara kawasan bebas cukai untuk syarikat kewangan.

Undang-undang kepulauan itu menawarkan perlindungan kerahsiaan untuk pemegang kepentingan syarikat daripada kerajaan negara masing masing.

Malaysiakini menyebut, portal itu sudah menghubungi Nizam dan perantaranya untuk mendapatkan komen.

Tiada ulasan: