Monday, April 2, 2018

RUU berita palsu lulus ke bacaan ketiga, 123 menyokong, 64 tolak






KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berjaya melepasi bacaan kedua di Dewan Rakyat selepas undian belah bahagi petang tadi, dengan 123 wakil rakyat menyokong dan 64 menolak.

Ini bermakna RUU berita palsu itu lulus dalam perbahasan di peringkat dasar untuk dibawa ke bacaan ketiga, iaitu perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Sekiranya RUU ini lulus bacaan ketiga, ia akan diangkat ke Dewan Negara untuk pertimbangan para senator yang mewakili negeri-negeri.

FMT difahamkan RUU berita palsu akan diputuskan hari ini juga.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan beberapa perubahan pada RUU asal.

Perkataan “dengan sengaja” di Fasal 4 RUU itu digantikan dengan “berniat jahat”, dan tempoh hukuman penjara maksimum 10 tahun dikurangkan kepada 6 tahun.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Ini turut membabitkan sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.

Tindakan juga boleh diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukannya dilakukan rakyat Malaysia.
Hukuman penjara RUU berita palsu dikurang kepada 6 tahun

No comments: