PUTRAJAYA: Polis tidak akan menutup laluan ke Putrajaya kecuali sekitar
50 meter di kawasan sekeliling pusat penamaan calon yang berlangsung
esok di Dewan Serbaguna Presint 9.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata,
penutupan laluan itu adalah untuk memberi laluan kepada penyokong parti
politik untuk berarak semasa proses penamaan calon.
"Saya percaya penyokong dari tiga parti politik yang bertanding di
Putrajaya sudah matang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
dan mereka akan berarak dan memberi sokongan kepada calon pilihan secara
berhemah.
"Penyokong parti politik berkenaan akan bergerak secara berkumpulan dan
atas sebab itu kita minta mereka untuk menitik beratkan keselamatan
diri ketika berarak.
"Kita berharap semua penyokong tidak menimbulkan kekecohan dan mengikut
setiap arahan dikeluarkan oleh anggota dan pegawai polis yang
bertugas," katanya dipetik NSTP.
Ditanya kekuatan anggota yang akan bertugas esok, beliau berkata tiada
jumlah sebenar kekuatan anggota dan pegawai yang akan menjaga di pusat
berkenaan.
"Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ada
menyatakan jumlah anggota dan pegawai yang akan bertugas semasa penamaan
calon, dan jumlah itu termasukPutrajaya.
"Dari segi pecahan anggota dan pegawai di Putrajaya sukar untuk
diberikan, kerana kita turut mendapat kerjasama dari IPK (Ibu Pejabat
Polis Kotinjen), tetapi polis Putrajaya akan siap sedia bermula jam 6
pagi sehingga tamat penamaan calon," katanya.
Semalam, Mazlan berkata, sebanyak 2,693 pegawai dan anggota polis akan bertugas semasa Hari Penamaan Calon.
Daripada jumlah berkenaan,361 terdiri daripada pegawai, 2,303 anggota
dan 29 kakitangan awam yang akan mengawal di enam daerah iaitu Sentul,
Wangsa Maju, Brickfields, Dang Wangi, Cheras serta Putrajaya.
Setakat ini, kerusi Parlimen Putrajaya dijangka menyaksikan
pertandingan tiga penjuru antara penyandang yang juga Setiausaha Agung
BN dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor dengan calon gabungan pembangkang PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat
dan calon PAS, Zainal Abidin Kidam.
No comments:
Post a Comment