Monday, April 2, 2018

Masa depan Proton cerah dengan kerjasama DRB-HICOM, Geely

 
Beberapa pengedar melawat GRI di China, yang membuka mata mengenai kemungkinan masa depan dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap kerjasama itu.


Gambar blogspot pandulaju.com.my


KUALA LUMPUR: Kerjasama antara DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd adalah baik untuk masa depan, berikutan skop teknologi dan penyelidikan dibangunkan Institut Penyelidikan Geely (GRI), kata pengedar Proton Holdings Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, beberapa pengedarnya melawat GRI di Hangzhou Bay, China baru-baru ini, yang membuka mata mereka mengenai kemungkinan masa depan dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap kerjasama itu.

Pengedar Proton, Mohd Nazrin Mohamad Fozi dari Rahman Brothers Automotive Sdn Bhd berkata, kunjungan ke GRI lebih daripada memenuhi jangkaannya.

“Ia mempamerkan keupayaan teknologi Geely dan masa depan kereta. Saya membayangkan jika teknologi seperti keselamatan canggih dan ciri-ciri termaju lain dimasukkan ke dalam kereta Proton, kita pasti akan mempunyai kelebihan automobil di Malaysia dan juga di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Munauwir Mohd Khir dari Edaran Saga Sdn Bhd kagum dengan perhatian Geely terhadap perinciannya.

“Geely mengambil kira setiap butiran kecil. Segala-galanya dilakukan dengan cara terkawal dan prosesnya teratur, daripada ujian hingga ke produk akhir.

“Ia memerlukan pengeluar kereta baik untuk mempunyai visi besar untuk syarikat itu, bukan hanya membangunkan kereta dengan teknologi canggih tetapi juga lebih penting lagi, mesra alam seperti kereta elektrik dan hibrid,” katanya.

Budaya kerja GRI juga mendapat pujian dari Hazree Hashim dari Vitalic Sdn Bhd, menyatakan pekerja barisan pengeluaran syarikat tersebut sangat gigih menjalankan tugas mereka.

“Daripada budaya kerja ke kilang, ada sistem yang baik dan aliran melakukan sesuatu. Pengeluaran terkawal dan semuanya kelihatan teratur.

“Selepas lawatan ini, saya dapat melihat perkembangan yang berlaku di Geely dengan lebih jelas dan bagaimana Proton akan mendapat faedah jangka panjang,” katanya.

No comments: