LANGKAWI: Antar fokus utama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen
Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad jika sekali lagi diberi kepercayaan
sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut adalah membantu golongan muda
dengan mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka.
Beliau berkata, sasaran pihaknya mahu setiap anak muda di kawasan ini
mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri bagi membantu mereka
menjana pendapatan khususnya menjadi usahawan dalam sektor pelancongan.
Selain itu kata Nawawi, beliau juga akan meminta kerjasama daripada
jabatan dan agensi-agensi kerajaan bagi membuka peluang kepada golongan
muda ini memperoleh pekerjaan.
“Macam-macam kita boleh buat di Langkawi ini seperti golongan muda ini
membuka perniagaan makanan berkonsepkan food truck, jadi ejen
pelancongan, memberi perkhidmatan bot dan pelbagai lagi peluang boleh
dicipta,” katanya dipetik Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan, Nawawi yang
juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi bakal berhadapan saingan calon
PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Zubir Ahmad daripada Pas.
Sementara itu, Nawawi berkata, selain memberi fokus kepada orang muda,
pihaknya juga tidak melupakan golongan wanita di kawasan ini.
Beliau berkata, kaum wanita juga perlu diberikan peluang khususnya
dalam bidang perniagaan secara atas talian bagi membantu mereka menjana
pendapatan terutama melibatkan suri rumah.
“Selain itu, saya juga ingin menekankan supaya peserta Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM) di kawasan ini dikembangkan daripada 2,000 peserta pada
masa ini kepada 4,000 atau 6,000 peserta yang sekali gus memudahkan
mereka menjalankan pelbagai perniagaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment