Sunday, April 29, 2018

Tengku Adnan: PKR tidak patut salahkan SPR atas kesilapan sendiri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: PKR tidak sepatutnya menuding jari terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian beberapa calonnya tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas kesilapan mereka sendiri.
 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tuduhan bahawa SPR mempunyai agenda tertentu dengan mengubah peraturan penamaan calon adalah tidak berasas kerana SPR telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
 
"Mereka menuding jari terhadap SPR sama seperti satu jari tunjuk ke depan dan empat lagi jari menunjuk diri sendiri.
 
"Ikut dan akurlah undang-undang SPR dan saya percaya SPR juga ikut dan akur dengan undang-undang. Kalau kamu ada masalah parti, selesaikan masalah parti kamu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah tempat letak kereta bertingkat kuarters Apartmen Fasa 5 dan 6 di Presint 9, di sini hari ini.
 
Semasa proses penamaan calon PRU14 semalam, beberapa calon PKR hilang kelayakan bertanding antaranya Naib Presidennya Tian Chua yang tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila pencalonannya ditolak oleh SPR kerana telah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.
 
SPR turut menolak pencalonan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Dr Mohd Hafidz Rizal kerana disahkan bankrap, manakala calon PKR DUN Rantau Dr S. Streram gagal mengemukakan borang pencalonan kerana tidak membawa pas calon.
 
Tengku Adnan berkata pakatan pembangkang juga sebelum ini dilihat cuba mencari alasan teknikal untuk mengharamkan Umno menjelang PRU14 berikutan tindakan 16 anggota Umno yang memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan.
 
"Tetapi dia lupa dalam Perlembagaan Umno, ada klausa (menyebut) anggota yang membawa Umno ke mahkamah secara automatik akan digugurkan," katanya.
 
Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga minggu menjelang PRU14 itu, kumpulan tersebut mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
 
Pada 5 Mac lepas, RoS dalam kenyataan mengesahkan permohonan Umno menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan, selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17 yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan, tidak boleh melebihi 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan

No comments: