Isnin, 5 Mac 2018

Tiada hukum bunuh untuk murtad, Wan Ji beritahu PAS



wan-ji


Wan Ji Wan Hussin berkata pendekatan PAS tidak sesuai di Malaysia khususnya Sarawak.

Wan Ji Wan Hussin, yang juga pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata hadis yang menyarankan hukum bunuh terhadap penganut Islam yang murtad adalah hadis lemah dan bersifat “meragukan”.

“Dengan ini jelas bahawa hukuman bunuh kepada orang yang murtad adalah tidak mempunyai sumber yang kuat.

“Walaupun diakui bahawa Islam menganggap murtad sebagai dosa besar seperti mana dosa besar tidak menunaikan solat,” katanya mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu, yang mengarahkan orang Islam yang mahu menukar agama untuk berbuat demikian melalui mahkamah syariah.

Keputusan itu disambut baik PAS, dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan yang menyifatkan murtad kesalahan besar yang “dikenakan hukuman yang berat kerana ia mencabuli kedudukan harta benda, hak milik dan status perkahwinan mereka yang terbabit”.

“PAS meletakkan keyakinan bahawa perlaksanaan syariat Islam yang komprehensif mampu membendung gejala murtad daripada terus berleluasa,” kata Nasrudin.

Wan Ji, yang juga mengetuai Biro Agama Pemuda PKR, berkata hukuman mati bagi kesalahan murtad seperti yang dicadangkan dalam enakmen syariah Kelantan tidak wajar diamalkan di Malaysia terutama di Sarawak.

“Dengan isu keluar Islam yang melibatkan beberapa individu di mahkamah Syariah dan mahkamah Sivil Sarawak, PAS tidak wajar mengambil pendekatan bersetuju dengan hukuman mati, malahan perlu meninggalkan pendekatan tersebut. Lebih-lebih lagi, pendekatan tersebut tidak jauh beza dengan pendekatan IS dan Taliban,” katanya.

Wan Ji memetik kritikan ulama terkenal Taha Jabir Alwani dan Said Ramadan al-Buti terhadap hadis yang dijadikan sumber hukuman bagi kesalahan murtad.

“Ia dianggap sebagai dosa yang besar tetapi tidak mempunyai hukuman yang di dunia. Terutama dalam fekah Islam, hukuman terhadap orang yang murtad tidak lebih sekadar penetapan pihak kerajaan sahaja (takzir) seperti mana yang telah dikupas oleh Dr Taha Jabir dan Dr Said Ramadan,” kata Wan Ji.

Tiada ulasan: