Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini, mengecam tindakan polis menangkap dan menahan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pada waktu yang tidak munasabah dan menyifatkannya sebagai bermotif politik.
Dalam kenyataan bersama Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Bersatu Johor Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh, Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Kassim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, mereka berpendapat polis sepatutnya boleh meminta Mazlan hadir ke ibu pejabat polis untuk diambil keterangan dan tangkapan tidak perlu dilakukan.
“Hal ini amat tidak masuk akal. Mazlan adalah individu yang dikenali ramai dan dari rekod lalu, beliau telah memberikan kerjasama yang sangat baik terhadap pihak berkuasa serta tidak pernah melarikan diri,” ujar kenyataan hari ini.
PH Johor juga berkata, tindakan yang dilakukan terhadap Mazlan itu susulan satu laporan polis yang telah dibuat oleh peguam kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, NoorHajran Mohd Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul Isnin lalu.
Laporan polis itu dibuat berhubung ceramah Mazlan yang dimuat naik ke YouTube yang didakwa telah merosakkan reputasi dan integriti Rosmah Mansor.
“Pakatan Harapan Johor mengesyaki bahawa penangkapan Mazlan ini bermotif politik. Pendedahan Mazlan berkaitan pembabitan isteri Perdana Menteri dalam isu kegagalan projek ikan sturgeon mutakhir ini barangkali menjadi antara faktor tangkapan ini dilakukan.
“Kami berpendapat, sebarang persoalan mengaitkan isu politik yang timbul mestilah diselesaikan dengan hujah dan fakta. Bukan mengekang dengan kuasa.
“Ini adalah suatu bentuk tindakan dayus dan tidak bermaruah. Malah, ia merupakan suatu kezaliman terhadap anak, isteri dan keluarga Mazlan.
“Mazlan adalah seorang aktivis akar umbi yang memperjuangkan nasib peneroka felda. Dalam kemelut politik yang menyaksikan isu felda begitu meruncing pada ketika ini, penangkapan Mazlan hanyalah akan menambah kebencian rakyat terhadap Rosmah, Najib dan Barisan Nasional.
“Sekali lagi, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Mazlan dibebaskan segera. Pada masa sama, Pakatan Harapan akan melakukan mobilisasi untuk meraih sokongan rakyat bagi mengecam tindakan yang cukup zalim dan tidak adil ke atas Mazlan,” ujar kenyataan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan