Rabu, 21 Mac 2018

Syed Saddiq cabar Razali di Muar

Syed Saddiq cabar Razali di Muar
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan akan mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim di kerusi Parlimen Muar, Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 

GELANGGANG akan dibuka di Johor untuk salah seorang pemimpin Bersatu yang popular di media sosial mencabar penyandang kerusi Parlimen Muar selama tiga penggal, Razali Ibrahim, yang juga seorang timbalan menteri.

Sumber dalaman Bersatu memberitahu, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Muar, kawasan yang kini disandang Razali yang juga bekas naib ketua Pemuda Umno itu.

Pencalonan Syed Saddiq, 25, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk bertanding di kerusi yang disandang oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sudah mendapat keizinan parti.

"Beliau sudah diberi lampu hijau untuk bertanding di Muar. Ini macam dah disahkan tetapi kita tak tahu kalau ada perubahan pada saat akhir," kata seorang sumber.

Seorang lagi sumber memberitahu, Muar, kerusi marginal dengan perbezaan 4% undi (1,646 undi) yang juga sebuah kerusi campuran, sesuai untuk Syed Saddiq.

Razali, yang pertama kali menang kerusi itu pada 2004, mempertahankan kedudukannya pada PRU13 selepas meraih 20,867 undi mengatasi calon PKR, Nor Hizwan Ahmad yang mendapat 19,221 undi.

Muar mempunyai lebih kurang 53,000 pengundi dengan pecahan 62% pengundi Melayu, 35% Cina dan 1% India. 40% pengundinya berumur bawah 40 tahun.

Syed Saddiq yang dihubungi The Malaysian Insight enggan mengesahkan maklumat ini tetapi tidak juga menafikan sama ada beliau akan bertanding di Muar.

Sementara itu, Razali tidak terganggu dengan kemungkinan dicabar oleh Syed Saddiq pada pilihan raya umum nanti.

"Saya tak kisah. Ini negara demokrasi dan beliau boleh bertanding di mana saja yang beliau mahu. Kami hanya perlu mengukuhkan jentera. Kami tidak boleh biarkan masalah lain menjejaskan momentum kemenangan ini," kata Razali ketika ditemui di Parlimen.

Muar adalah salah sebuah kerusi marjinal di Johor. Kawasan Parlimen itu dikatakan akan menjadi medan tempur banyak penjuru apabila Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera akan meletakkan calon masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2018.
Muar adalah salah sebuah kerusi marjinal di Johor. Kawasan 
Parlimen itu dikatakan akan menjadi medan tempur banyak 
penjuru apabila Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gagasan 
Sejahtera akan meletakkan calon masing-masing. – Gambar fail 
The Malaysian Insight
Syed Saddiq dan Razali bertegang urat di Twitter baru-baru ini apabila pemimpin Umno itu mengalu-alukan pesaingnya itu bertandang ke Muar tetapi bertanya apakah pemimpin muda Bersatu itu betul-betul mengenali Muar.

Syed Saddiq membidas Razali dengan mendakwa beliau sangat faham isu-isu di Muar dan berkata sekiranya diberi peluang bertanding, beliau akan menumbangkan timbalan menteri itu.

Selain PH dan Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS juga dijangka akan menurunkan calonnya, menjadikan pertandingan di Muar tiga penjuru.

Kawasan Parlimen Muar dibentuk oleh dua kerusi negeri, Maharani dan Sungai Balang.

Pada pilihan raya lepas, Maharani jatuh kepada PAS yang diwakili Mohammad Taslim sementara Sungai Balang dimenangi oleh Zaiton Ismail dari BN.

Dalam satu kajian Merdeka Centre for Opinion Research Januari lalu, 51% daripada 1,007 responden rakyat Johor yang disoal selidik berkata mereka sedia memberi peluang kepada parti lain mentadbir negeri itu.

Pengundi Cina dikesan paling terbuka kepada perubahan (69%) diikuti pengundi India (50%) dan Melayu (39%).

Bagaimanapun penduduk Muar sebelum ini menyuarakan rasa tidak senang dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu yang dikatakan memecahbelahkan orang Melayu di Johor.

Johor dilihat antara negeri tumpuan pada PRU14 apabila Pakatan Harapan gigih cuba memecahkan penguasaan Umno di negeri selatan itu.

Tiada ulasan: