Isnin, 5 Mac 2018

SPRM perlu siasat ketua JSJ berhubung transaksi meragukan, kata Paul Low

SPRM perlu siasat ketua JSJ berhubung transaksi meragukan, kata Paul Low 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata SPRM tidak perlu menunggu laporan dibuat untuk menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata, agensi antirasuah perlu segera menyiasat kes pemindahan wang berjumlah hampir RM1 juta milik pegawai kanan polis Malaysia ke akaun di Australia dan tidak menunggu laporan dibuat.

Low, yang menyelia usaha kerajaan dalam membanteras rasuah berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

"Ia perlu disiasat kerana kes itu dilihat seolah-olah tidak wajar. Walaupun tanpa laporan daripada mana-mana pihak, SPRM perlu menjalankan siasatan," katanya kepada The Malaysian Insight.

Low diminta mengulas berhubung kontroversi yang menyelubungi transaksi tunai pegawai kanan polis terbabit Wan Ahmad di Australia.

Sydney Morning Herald pada Jumaat melaporkan, polis Australia membekukan A$320,000 (RM971,728) dalam akaun Wan Ahmad kerana disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram.

Wan Ahmad bagaimanapun enggan bertindak untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Laporan itu menyebut PDRM Bukit Aman membebaskan beliau daripada sebarang salah laku selepas siasatan dalaman dijalankan berikutan tindakan yang diambil pihak berkuasa Australia.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pula dilaporkan berkata agensi antirasuah itu hanya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan rasmi dibuat berhubung perkara itu.

Katanya, SPRM boleh meminta bantuan Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kes berkenaan.

Mengulas kenyataan polis, Low berkata, polis hanya berhak menjelaskan alasan untuk menerima penjelasan Wan Ahmad mengenai perkara itu.

"Kes ini membabitkan kepentingan awam, lebih baik mereka dedahkan mengapa ia wajar," kata Low.

Polis Malaysia memihak kepada Wan Ahmad selepas pihak berkuasa Australia membekukan aset tersebut kerana disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram.

Fuzi berkata wang milik Wan Ahmad itu adalah daripada jualan rumah pengarah JSJ tersebut di Shah Alam yang bernilai RM700,000.

Katanya, beberapa rakan Wan Ahmad memindahkan wang berkenaan ke akaun di Australia.

KPN berkata Wan Ahmad dapat menyediakan semua dokumen diperlukan untuk membuktikan sumber dana berkenaan yang bertujuan untuk membiaya pengajian anaknya.

Fuzi berkata pihak polis telah dimaklumkan mengenai akaun bank Wan Ahmad pada 2016 dan satu siasatan dalaman mengenai perkara terbabit telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Wan Ahmad, yang dinaikkan pangkat sebagai ketua JSJ pada April tahun lalu, mendakwa membuka akaun bank di Australia pada 2011 untuk membiaya pengajian anaknya di peringkat ijazah sarjana.

Tiada ulasan: