Oleh Dr Chandra Muzaffar
DI tengah-tengah keriuhan tentang pilihan raya, ada satu dimensi tentang proses pilihan raya yang kritikal yang tidak mendapat perhatian sewajarnya baik dalam kalangan ahli politik mahupun rakyat umumnya. Isunya ialah pembiayaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Siapa yang membiayai Barisan Nasional (BN)? Siapa pula yang membiayai Pakatan Harapan? Dari mana PAS dapat dananya? Apakah lebih banyak syarikat perniagaan terlibat dalam membiayai pilihan raya berbanding rakyat secara individu? Apakah juga ada penglibatan unsur-unsur asing?
Hanya sedikit yang kita tahu tentang pembiayaan pilihan raya di Malaysia kerana undang-undang mengenainya tidak memadai. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang amalan rasuah dan menyeleweng semasa kempen pilihan raya serta menetapkan had perbelanjaan kempen bagi setiap calon, RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi negeri.
Bagaimanapun akta berkenaan tidak meliputi perbelanjaan oleh parti politik sebagai sebuah entiti. Parti politik yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1960 dikehendaki menyerahkan penyata kewangan yang telah diaudit kepada Pendaftar Pertubuhan tetapi mereka tidak perlu mendedahkan sumber sumbangan yang diterimanya.
Oleh kerana kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam soal sumbangan derma dan pembiayaan politik secara menyeluruh, sejak bertahun-tahun ada syak wasangka tentang pengaruh wang dalam pilihan raya.
Sekiranya dasar awam condong memihak pada kalangan atasan dalam masyarakat, adakah ia kerana syarikat besar menyumbang dana kepada parti politik tertentu? Sekiranya keuntungan pemaju yang ada hubungan baik dengan kerajaan tampak mengatasi kebajikan rakyat miskin atau kesejahteraan alam sekitar, adakah ia kerana dana yang mereka salurkan kepada parti politik dan ahli politik?
Sekiranya ahli politik tertentu meraih lebih sokongan berbanding lawannya dalam pemilihan parti, adakah kerana beliau membeli undi daripada ahli-ahli parti? Bukankah politik wang menjadikan sesetengah ahli politik terdedah kepada manipulasi entiti dan agensi asing yang memperjuangkan agenda mereka berbanding agenda negara?
Sejak tahun-tahun awal Merdeka, kesan buruk wang ke atas politik dan kuasa sudah dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan dan individu di Malaysia. Pada tahun 1950-an dan 1960-an, parti pembangkang seperti Parti Negara, Parti Rakyat Malaysia, Parti Buruh dan PAS mengkritik apa yang mereka anggap sebagai salah guna wang oleh Perikatan untuk menang pilihan raya dan kaitannya dengan perniagaan.
Sejak 1970-an dan seterusnya, parti seperti DAP, Pekemas, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) terus menerus mengecam BN atas dakwaan tunduk kepada kepentingan modal dan dana. Tetapi isu pembiayaan politik bukan keutamaan mereka. Hak dan kepentingan kaum, kebebasan politik, jurang ekonomi dan isu lain sebaliknya menjadi fokus mereka.
Pada 1970-an dan 1980-an, hanya ada sedikit kumpulan masyarakat sivil dan cara bagaimana parti-parti politik membiayai gerakan mereka bukanlah antara keutamaan pertubuhan itu. Tetapi tidak bagi kumpulan reformasi sosial, Aliran yang saya ketuai pada tahun-tahun itu yang cuba menanam kesedaran tentang hubung kait antara politik dan wang melalui kempen sederhana menyeru calon pada PRU 1978 untuk mengisytiharkan harta kepada rakyat.
Hanya dua pemimpin politik, seorang dari PAS dan seorang dari DAP, yang menyahut usaha itu dengan positif. Beberapa tahun kemudian saya dan empat penggerak hak asasi manusia menubuhkan "Pemantau Pilihan Raya" yang cuba memantau perjalanan PRU 1990. Antara tumpuannya ialah melihat bagaimana wang memainkan peranan dalam pilihan raya.
Hari ini, kumpulan yang komited mendedahkan hubung kait antara wang dan politik sudah berkembang. Perkembangan ini, ditambah pula dengan berleluasanya amalan politik wang meyakinkan pemerintah untuk menangani isu ini dengan tuntas.
Malah pada 2009, Perdana Menteri Najib Razak mencadangkan pembaharuan dalam sistem pembiayaan politik Malaysia. Sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan yang antara lain mencadangkan kemungkinan sebuah dana awam diwujudkan bagi membiayai pilihan raya. Laporan jawatankuasa itu diterima oleh Parlimen pada 2012.
Tiga tahun kemudian, pada Ogos 2015, Jawatankuasa Perundingan Pembiayaan Politik dibentuk terdiri daripada wakil pelbagai sektor dalam masyarakat dengan matlamat mengukuhkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti dalam pembiayaan politik.
Jawatankuasa itu mengemukakan beberapa cadangan pada Ogos 2016 termasuk usul menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA). Akta itu akan memperkenalkan seorang pengawal yang akan memantau semua sumbangan dan perbelanjaan "tanpa gentar atau memihak".
Sebuah lembaga yang terdiri daripada "tokoh yang berwibawa dan dipercayai, dan tidak disertai ahli politik yang aktif" akan memantau pengawal. Selain itu, jawatan perunding mencadangkan agar Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan dan memeriksa tugas pengawal. Ia hendaklah dipengerusikan oleh seorang wakil daripada pembangkang.
Sebuah badan masyarakat sivil. G25, juga mengutarakan beberapa usul yang bernas bagi mengukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban pembiayaan politik. Selain menggubal Akta Parti Politik, ia mencadangkan had sumbangan dan perbelanjaan; melindungi autonomi dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan raya, menyediakan akses yang saksama ke atas dana awam bagi parti politik dan calon pilihan raya, serta mengawal pembiayaan politik oleh pihak swasta.
Menjelang PRU14, rakyat harus membentuk kumpulan masing-masing untuk membincangkan hal ini dan cadangan lain.
Rakyat harus melakukan lebih daripada itu. Sebagai pengundi mereka wajar meminta semua calon parlimen tanpa mengira latar belakang parti untuk menyatakan secara bertulis apakah mereka bersedia untuk menyokong PDEA.
Tidak sukar untuk berhubung dengan calon di kawasan pilihan raya masing-masing. Dengan pelbagai wadah komunikasi yang ada, setiap pengundi atau sekumpulan pengundi boleh menanyakan soalan mudah tentang PDEA kepada calon yang mahu meraih sokongan mereka.
Kita sebagai pengundi dan rakyat mahu wakil rakyat yang dipilih meluluskan cadangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik jadi undang-undang kerana kita yakin ia akan memainkan peranan yang besar dalam mengukuhkan akauntabiliti dan memastikan integriti menjadi ciri negara ini.
* Dr Chandra Muzaffar ialah pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan