Isnin, 12 Mac 2018

Putrajaya masih cari cara terbaik bawa pulang pembunuh Altantuya

Putrajaya masih cari cara terbaik bawa pulang pembunuh Altantuya
Menurut Kementerian Dalam Negeri, permohonan ekstradisi polis komando yang melarikan diri ke Australia itu perlu dilihat secara menyeluruh dan menyentuh hubungan dua hala dengan negara tersebut kerana melibatkan dasar dan undang-undang negara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PUTRAJAYA sedang mencari jalan terbaik untuk membawa pulang pembunuh Altantuya Shaaribuu, Sirul Azhar Umar yang diektradisi di Australia.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, permohonan ekstradisi polis komando yang melarikan diri ke Australia itu perlu dilihat secara menyeluruh dan menyentuh hubungan dua hala dengan negara tersebut kerana melibatkan dasar dan undang-undang negara lain.

Tambahnya, proses tersebut perlu dilakukan berhati-hati, memandangkan hukuman mati tidak disokong oleh Australia.

"Usaha kerajaan untuk membawa pulang Koperal Sirul Azhar bagi menjalani hukuman mati menyentuh isu hak asasi manusia di Australia yang tidak menyokong hukuman mati," kata kementerian tersebut.

Kementerian itu berkata demikian dalam pertanyaan jawab lisan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh (DAP) kepada Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan kerajaan kini tidak lagi berniat untuk mengekstradisi Sirul memandangkan pendirian Zahid pada Mac 2015 akan memulakan proses ekstradisi dengan kerajaan Australia.

Sirul dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah menculik dan membunuh Altantuya yang merupakan penterjemah warga Mongolia.

"Kerajaan masih belum mempunyai peluang untuk berunding dengan kerajaan Australia kerana Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau.

"Atas dasar itu, kerajaan masih lagi mengkaji kaedah terbaik untuk menangani isu tersebut," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, akhbar The Australian melaporkan Sirul memfailkan rayuan akhir kepada pihak berkuasa di sana supaya tidak menolak permohonannya mendapatkan visa pelrindungan.

Ini kerana, beliau menyatakan bahawa beliau berdepan dengan "ancaman nyata" dihukum bunuh jika dihantar pulang.

"Mengikut triti ekstradisi kerajaan Malaysia dengan kerajaan Australia, permintaan ekstradisi untuk menjalani proses keadilan di mahkamah di Malaysia perlu dinyatakan kesalahan dan hukuman yang akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya penjenayah buruan tersebut bersalah.

"Australia merupakan salah sebuah negara yang tidak menyokong pelaksanaan hukuman mati," kata kementerian itu.

Tiada ulasan: