Khamis, 8 Mac 2018

Peruntukan ADUN: Kami maklum, bukan 'heret' Tuanku

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak timbul soal PAS mengheret Istana Selangor dalam kemelut peruntukan tahunan ADUN parti. 
 
Itu rumusan tegas Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi mengenai tindakan pihaknya mahu menulis surat memaklumkan Istana Selangor mengenai perkara berkenaan. 
 
Sallehen berkata surat yang akan dihantar dalam beberapa hari itu akan memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai siri tindakan yang akan diambil oleh PAS Selangor demi membela kebajikan rakyat. 
 
"Kita perlu memaklumkan kepada Tuanku. Ini bukan soal nak mengheret. Sebab orang politik suka menggunakan kenyataan mengheret,” kata Sallehen ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos, semalam. 
 
“Kita hanya nak maklum tindakan itu kepada Tuanku. Banyak sangat perkara-perkara di spin melalui media. Jadi baik saya tulis dengan tangan saya sendiri dan sampaikan pada tuanku tentang cerita, berita, penjelasan (berkenaan isu ini) pada tuanku,"  kata beliau. 
 
Sallehin berkata pihaknya akan akur dengan apa saja nasihat Sultan Selangor dan mempunyai penuh keyakinan atas kebijaksaan Tuanku. 
 
"Sultan ini sebagai payung keadilan kepada rakyat. Apa yang Tuanku putuskan, menjadi satu kepatuhan kepada rakyat dan kepada kita sendiri. 
 
“Kita sebagai rakyat, apabila berlaku sesuatu tekanan sebegini, kita perlu memaklumkan kepada tuanku, kerana dia adalah payung pemegang keadilan untuk rakyat di negeri ini. Selepas itu, kita ikut kebijaksanaan tuanku,” kata beliau. 
 
Azmin sebelum ini menggesa PAS untuk tidak melibatkan Istana Selangor dalam kemelut berkenaan dan menegaskan ia hanya melibatkan isu teknikal yang akan diselesaikan segera. 
 
Sallehen berkata pihaknya mengambil tindakan setelah menunggu sekian lama untuk Azmin mengambil tindakan yang sepatutnya. 
 
"Tak mungkin sampai bulan tiga duit tidak turun lagi ke pejabat daerah. Apa guna selama ini cakap (Selangor) sebuah kerajaan (negeri) yang efisyen, telus, tulus, tanggungjawab? Patutnya lebih cepat (dapat dana) itu lebih baik,” kata beliau. 
 
Beliau sekali lagi menggesa Azmin membuat keputusan bersabit peruntukan itu secara terbuka. 
 
"Soal nafi atau tidak..dia boleh nafikan tapi realitinya sampai sekarang kita tak diberi sebarang bentuk penjelasan dan alasan sebab apa pembekuan itu berlaku sebab kita adalah  wakil rakyat kerajaan,” kata Sallehen. 
 
Beliau berkata kemelut itu tidak melemahkan semangat ADUN PAS untuk membela penduduk di kawasan-kawasan mereka. 
 
"Program yang telah kita laksanakan menggunakan wang peribadi, tak kiralah duit dia sendiri atau pinjam duit orang. Maklumat dari sembilan ADUN hampir RM700,000 (sudah di belanja)," perinci Sallehen. 
 
Antara projek-projek yang memerlukan pembiayaan ialah mengecat sekolah rendah agama, turap halaman surau, buat kolah air surau serta bantuan kilat untuk mangsa banjir dan ribut. 
 
“Sekarang ini masalahnya bukan masalah ADUN tetapi masalah rakyat. (Sebab) rakyat yang sepatutnya dapat memanfaatkan peruntukan yang ada pada kita. 
 
Ini bukan program politik. Kita memang beri bantuan pada rakyat yang memerlukan,” tegas beliau.  
 
Sallehen berkata semua ADUN sudah di arah untuk terus membuat tuntutan belanja program kepada Pejabat Daerah seperti amalan sebelum ini. 
 
Beliau berkata tuntutan itu akan dianggap sebagai tunggakan perbelanjaan kepada kerajaan negeri sehingga kemelut itu diselesaikan. 
 
 
 

Tiada ulasan: