Isnin, 5 Mac 2018

Peraturan pembiayaan politik termasuk dalam manifesto Pakatan, kata Bersatu

Peraturan pembiayaan politik termasuk dalam manifesto Pakatan, kata Bersatu
Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu, Rais Hussin (tengah) berkata butiran terperinci mengenai pembiayaan politik dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancarkan pada Khamis ini selepas menerima memorandum daripada Giat di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari
 
MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan termasuk undang-undang mengenai pembiayaan politik, kata Dr Rais Hussin daripada Bersatu.

Tidak mahu memberikan butiran terperinci, ketua biro strategi dan dasar parti itu berkata undang-undang lebih spesifik dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancarkan pada Khamis ini.

"Pembiayaan politik dimasukkan dalam manifesto. Sekarang kita perlu melihat sama ada kita terlepas pandang apa-apa lagi.

"Kita perlu memastikan ia komprehensif. Kami tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak dapat disampaikan. Saya ingin memberitahu anda yang janji pembiayaan politik sangat menyeluruh," kata Rais dalam sidang akhbar hari ini di ibu pejabat Bersatu.

Bersatu didatangi awal hari ini oleh sekumpulan NGO dan organisasi hak asasi manusia, gabungan Governance, Integrity, Accountability and Transparency (Giat).

Ia menyerahkan memorandum kepada parti yang menggariskan lima tuntutan, termasuk undang-undang mengenai pembiayaan politik.

Rais berkata pakatan pembangkang mempunyai masa untuk memasukkan tuntutan Giat kerana semua parti akan bertemu untuk menyelesaikan manifesto itu pada hari ini.

Tuntutan Giat boleh diterima bagi mana-mana parti politik untuk melaksanakan dan pada dasarnya harus dianggap sebagai "norma" bagi amalan demokrasi.

"Hari ini, apabila saya mendengar semua tuntutan, ini adalah norma dan bukan tuntutan.

"Ini adalah perkara yang kita sedang perjuangkan. Masa untuk NGO juga menyertai Bersatu," katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, yang menyampaikan memorandum tersebut, berkata parti berkenaan tidak perlu melakukan undang-undang pembiayaan politik dengan segera tetapi harus berjanji untuk menghormatinya selepas pilihan raya.

"Kami tidak meminta calon untuk mengisytiharkan aset sekarang tetapi kami mengatakan mereka harus bekerjasama dengan kumpulan seperti Majlis Peguam untuk membentuk undang-undang yang komprehensif.

"Tiada salahnya menjadi kaya tetapi menjadi kaya dengan dana kami, itu masalah."

Giat terdiri daripada enam kumpulan masyarakat sivil termasuk C4, Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Projek Sinar, Transparency International-Malaysia, Friends of Damansara, MyPJ dan Masyarakat untuk Perlindungan Hak Asasi Manusia (Proham).

Lima perkara yang Giat mahu setiap parti memberikan komitmen sebelum PRU14 ialah:

1) Meluluskan undang-undang yang akan menegaskan kebebasan institusi, yang paling penting ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

2) Menggubal undang-undang Kebebasan Maklumat kebangsaan, mengkaji Akta Rahsia Rasmi 1972 dan mengamalkan prinsip data terbuka.

3) Undang-undang menetapkan semua anggota Kabinet, ahli Parlimen, pegawai dilantik dan pegawai kanan awam mengisytiharkan aset mereka.

4) Memperbaiki demokrasi penyertaan dalam semua peringkat kerajaan, termasuk proses belanjawan dan mengadakan pemilihan majlis tempatan.

5) Menetapkan undang-undang yang semua parti politik menyatakan secara terbuka bentuk pendapatan dan perbelanjaan.

Tiada ulasan: