Isnin, 5 Mac 2018

Pasukan AS ke Indonesia tuntut kapal layar Equanimity Jho Low

THE MALAYSIAN INSIGHT

Pasukan AS ke Indonesia tuntut kapal layar Equanimity Jho Low 
Kapal layar Equanimity bernilai RM1 juta itu didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.– Gambar Youtube
 
AMERIKA Syarikat menghantar pasukannya ke Indonesia bagi menuntut semula Equanimity, kapal layar mewah milik Jho Low, yang kini dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas aset yang dikaitkan dengan 1MDB, lapor Malaysiakini.

Minggu lalu pihak berkuasa Indonesia, bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan, merampas kapal layar milik Low, atau nama sebenarnya Low Thaek Jho di Bali.

Low dikatakan merupakan orang kepercayaan Perdana Menteri Najib Razak dan penasihat perniagaannya. 1Malaysia Development Berhad merupakan cetusan ilham Najib.

Ahli perniagaan terbabit turut mengeluarkan kenyataan melalui jurucakapnya yang mengkritik DoJ yang "keterlaluan" selepas rampasan itu.

Pengarah ekonomi dan jenayah khas polis Indonesia, Daniel Silitonga berkata, pihak pendakwaan sudah berada di Jakarta sejak beberapa minggu lalu.

"Pasukan pendakwaan datang minggu lalu untuk tujuan kordinasi perundangan antara Indonesia dan Amerika Syarikat," Daniel dipetik sebagai berkata, hari ini.

Beliau turut memberitahu portal terbabit kes berkenaan kini diambil alih oleh Amerika sebagai pihak berkuasa utama yang menyiasat kes berkenaan.

"Indonesia hanya membantu FBI, jadi kita akan serahkan semua bukti yang diambil dan semua yang berkaitan perkara itu menerusi siasatan yang dijalankan di sini."

Semalam, bekas menteri Rafidah Aziz mempersoalkan mengapa pihak berkuasa Malaysia gagal untuk mengesan kapal layar sedangkan beliau menemuinya ketika sedang mengikuti aktiviti menyelam di Phuket tahun lepas.

"Saya kecewa bila membaca berita kapal layar besar itu disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali. Apa dah jadi dengan pihak berkuasa kita sendiri?

"Apakah kita memang tak pernah kisah untuk cari dan jejakinya? Atau apakah ada lagi skandal menakutkan di sebalik kapal layar itu yang belum didedahkan? Ada udang di sebalik batu?," soal Rafidah dalam tulisannya di Facebook.

Kapal layar bernilai RM1 juta itu didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata, tiada bukti dana daripada 1MDB digunakan untuk pembelian kapal terbabit

Tiada ulasan: