Jumaat, 23 Mac 2018

Pasar Chow Kit berwajah baharu dijangka siap 2021, kata DBKL

Pasar Chow Kit berwajah baharu dijangka siap 2021, kata DBKL 
Kerja pembinaan untuk menaik taraf Pasar Chow Kit giat dijalankan dan ia dijangka siap pada 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi
 
SELEPAS empat tahun tertangguh, pasar basah Chow Kit di Jalan Raja Bot berwajah baharu akan siap pada 2021, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah perancangannya, Mahadi Che Mat berkata, pasar moden bernilai RM150 juta yang akan dinamakan Pasar Raja Bot itu dinaiktaraf dengan lebih banyak kemudahan untuk 1,527 peniaga di kawasan terbabit.

"Tujuan untuk membangunkan semula pasar ini adalah untuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada peniaga. Ia juga merupakan salah satu daripada usaha kami untuk menaik taraf pasar basah lama di seluruh bandaraya ini," katanya kepada The Malaysian Insight.

Pembangunan semula pasar berusia 63 tahun itu mula diumumkan di bawah peruntukan bernilai RM200 juta pada 2011 oleh timbalan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Katanya, pasar berkenaan yang mula dibina pada 1955, akan diubah menjadi mercu tanda ikonik.

Projek berkeluasan 48,000 hektar sebelum ini dijadualkan siap pada tahun lalu namun berdepan masalah apabila peniaga tidak berpuas hati dengan pemindahan dan masalah DBKL dengan kontraktor.

Peniaga memberitahu DBKL, mereka tidak akan meninggalkan lot perniagaan mereka di pasar lama itu sehingga beberapa syarat dipenuhi. Ini termasuklah membina pasar transit dan mereka mahukan tapak sementara itu siap sebelum bersetuju untuk berpindah.

Penangguhan itu juga berpunca daripada syarikat kontraktor projek berkenaan, AJ Corp Sdn Bhd. DBKL menamatkan perkhidmatannnya pada 2016 kerana gagal mencapai sasaran.
Aktiviti perniagaan di Pasar Chow Kit masih berjalan seperti biasa walaupun kerja-kerja menaik taraf pasar berkenaan kini giat dijalankan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 23 Mac, 2018.
Aktiviti perniagaan di Pasar Chow Kit masih berjalan seperti 
biasa walaupun kerja-kerja menaik taraf pasar berkenaan kini 
giat dijalankan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi
"Projek naik taraf ini dibiayai kerajaan persekutuan dan kami mengadakan tender terbuka untuk projek ini dan dianugerahkan kepada AJ Corp.

"Kontraktor berkenaan telah menyiapkan fasa pertama namun menangguhkan fasa kedua. Itu puncanya khidmat mereka ditamatkan," katanya.

Kini kontraktor Sumpitan Plantation Sdn Bhd diberi tanggungjawab untuk menyiapkan projek berkenaan.

"Mereka kini menjalankan kerja-kerja fasa dua dan projek ini berjalan lancar," kata Mahadi.

Pemulaan pasar basah Chow Kit adalah ketika Kuala Lumpur masih lagi bertaraf "pekan", dan ini boleh dirujuk menerusi arkib Negara.

Ia merupakan hasil cetusan ahli Majlis Pekan Kuala Lumpur, Raja Muhamad Raja Alang pada awal 1950an. Cadangan itu dibawa ke mesyuarat kewangan Majlis Pekan Kuala Lumpur pada Mei 1953 dan pembinaannya diluluskan. 

Sebanyak RM350,000 diperuntukkan bagi pembinaan 350 gerai, menjadikan ia pasar terbesar di Wilayah Persekutuan.

Ia dilancarkan oleh Sultan Hisamuddin Alam Shah AI-Haj pada tahun 1955.

Projek menaik taraf ini akan dijalankan secara empat peringkat, termasuk pasar basah, pasar kering, utiliti, dan ruang parkir lapan tingkat dengan lebih 500 ruang meletakkan kenderaan.

"Fasa pertama disiapkan pada 2015, dan ada sesetengah peniaga sudah dipindahkan ke pasar sementara."

Pasar baru tiga tingkat itu akan memberikan amalan persekitaran yang lebih mesra alam, tambah Mahadi.

"Kami akan gunakan air hujan dan terdapat ruang simpanan di mana bekalan air ini akan disalurkan, dikitar semula dan dilepaskan ke sungai.

"Ini merupakan cara moden untuk menguruskan air buangan," katanya.

Kompleks pasaran baru ini juga merangkumi Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini dan laluan pejalan kaki yang dilindungi di Jalan Raja Bot, Jalan Raja Alang dan stesen Monorel Chow Kit.

Ini merupakan pasar pertama yang dinaik taraf di bandaraya ini dan DBKL juga akan menaik taraf pasar di Pudu, Taman Tun Dr Ismail dan Gombak.

Tiada ulasan: