Ahad, 18 Mac 2018

PAS yakin jadi kuasa penentu di Selangor - Abdul Hadi

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS boleh menjadi 'king-maker' di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, demikian keyakinan yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Abdul Hadi ketika menyampaikan ceramah sempena 10 tahun PAS di dalam kerajaan negeri Selangor malam tadi berkata, parti itu akan memain peranan penting sama ada untuk Barisan Nasional (BN) atau pun Pakatan Harapan (PH). 
 
"InsyaAllah kita akan bertanding di 130 kerusi parlimen, mungkin lebih lagi bersama kita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), bersama kita parti-parti politik yang bergabung dengan kita, yang menerima agenda dan program kita.
 
"Kita berusaha untuk sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah, kalau tidak dapat majoriti mudah, kita akan dapat kerusi yang banyak yang membolehkan kita menjadi 'king-maker.
 
"(Nanti) semua parti tidak boleh menubuhkan kerajaan melainkan tanya kita," kata Hadi.
 
Pada PRU kali ini, PAS akan bergerak di bawah Gagasan Sejahtera selepas secara rasmi memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR pada penghujung April tahun lalu.
 
Susulan itu, PRU kali ini bakal memperlihatkan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di majoriti kerusi DUN dan Parlimen, yang seterusnya bakal menggugat kemenangan yang diimpikan bekas rakan seteru mereka, Pakatan Harapan (PH).
 
Difahamkan rundingan kerusi PH Selangor setakat minggu ini memutuskan PKR akan bertanding sebanyak 19 kerusi DUN daripada 56 kerusi, manakala Amanah sembilan kerusi dan PPBM pula hanya tujuh kerusi.
 
Enam kerusi masih belum selesai dirunding iaitu Lembah Jaya, Seri Serdang, Sungai Panjang, Kota Damansara, Dusun Tua dan Sungai Burong.
 
Hadi dalam pada itu menambah, parti yang dipimpinnya itu juga bersedia untuk menjadi penasihat kepada kerajaan yang bakal memerintah jika PAS gagal untuk merampas Putrajaya.
 
"Ada orang menentang mahu menjatuhkan pemimpin yang ada dasarnya sama juga ulang benda sama yang pernah buat salah dulu dan mahu angkat balik.
 
"(Justeru) Sekiranya kita menang kita buat perubahan, sekiranya kita tidak menang kita jadi penasihat kepada kerajaan supaya membuat perubahan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: