Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: PAS dijangka membentangkan manifesto yang bersifat
realisitik dengan bersandarkan kepada kemampuan parti itu dalam
melaksanakannya, jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata
Pengarah Pusat Penyelidikannya Dr Zuhdi Marzuki.
Katanya, perkara asas yang diambil kira PAS adalah dengan tidak
menafikan kejayaan-kejayaan yang dicapai kerajaan sepanjang memerintah
negara.
Zuhdi berkata, manifesto PAS tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang
sering mengatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara gagal sepanjang
di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Tetapi sebaliknya ujar beliau, banyak kejayaan yang dilakar kerajaan namun dinafikan oleh pembangkang.
"PAS parti yang bersifat realistik, kita sudah melancarkan dokumen
Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Kita (juga) dah lancarkan dokumen
Hijau, kesemua dokumen itu kita mengambil kira bahawa Malaysia bukan
sebuah negara gagal.
"Parti pembangkang lain mengatakan Malaysia negara gagal dan
sebagainya. Cuma kita kena akui bahawa kita mempunyai banyak masalah
dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial.
"PAS juga bersama Gagasan Sejahtera, kita memperakui tentang kecekapan
dan sumbangan yang dibuat oleh kakitangan kerajaan. Profesionalisme
mereka kita tak nafikan, merekalah yang banyak mengemukakan
dasar-dasar," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
Khamis lalu, PH melancarkan 60 janji manifesto parti itu beserta lima
teras yang diguna pakai tatkala mahu menambat hari rakyat bagi memilih
mereka pada PRU14.
Namun jelas, ada daripada janji-janji tersebut dikitar semula daripada
PRU lalu, malah tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang ditakluk
mereka sejak 10 tahun lalu, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Manifesto yang dijanjikan PH dikritik hebat, antaranya penghapusan
cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan mengembalikan subsidi petrol
bersasar yang dilihat hanya retorik semata-mata selain tidak realistik.
Perlaksanaan janji-janji ditawarkan gagasan pembangkang itu juga
dikhuatiri bakal mewujudkan kadar defisit yang tinggi selain mampu
memudaratkan pertumbuhan ekonomi bagi jangka panjang.
Kata Zuhdi lagi, PAS akui dengan pencapaian yang diperoleh kerajaan,
justeru parti itu akan menyambung semua dasar-dasar yang memberi
sumbangan besar kepada negara.
PAS akan membentangkan sembilan teras utama merangkumi isu pendidikan,
sosial dan kesejahteraan rakyat dalam manifesto parti itu menjelang
PRU14.
Mursyidul Amnya, Hashim Jasin berkata, manifesto itu akan tertumpu
kepada penyelesaian masalah dihadapi rakyat dan negara dalam pelbagai
perkara.
Manifesto berkenaan akan dilancarkan Presiden parti, Datuk seri Abdul Hadi Awang malam ini di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan