Ahad, 18 Mac 2018

PAS doa kehancuran 'pakatan jahat' di Selangor

ANTARAPOS

Post Pic


SHAH ALAM: PAS Selangor pada malam tadi mengadakan solat hajat dan mendoakan agar Allah menghancur dan melemahkan ‘pakatan jahat’ yang akan dihadapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Solat hajat yang diketuai Ahmad Dusuki Abdul Rani itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 PAS dalam kerajaan Selangor.

Dalam doa itu juga Ahmad Dusuki meminta agar dibuka hati kepimpinan Selangor untuk mengembalikan peruntukan kepada para wakil rakyatnya di negeri itu.

“Beri peluang kami melihat keadilan Islam dan indahnya agama kamu di bumi bertuah ini… bertapa ada kalangan Adun kami disekat perbelanjaan mereka dan peruntukan mereka, pada kamu kami mohon buka hati mereka dan layaknya kamu membalas.

“Jemaah ini dikhianati mereka yang melarikan kerusi kami ya Allah… tidakkah kamu menyebut dalam kata-kata kamu doa mereka yang dizalimi tidak akan ditolak, kami pohon segala pakatan mereka rancang dihancur lebur.

“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tidak mempunyai kekuatan sejauh mana kamu dah lebur tentera ahzab demikian kami akan hadapi nanti,” kata Ahmad Dusuki dalam doanya di hadapan lebih 7,000 penyokong PAS di Stadium JKR di Shah Alam, malam tadi..

Walau bagaimanapun doa itu tidak secara jelas menyatakan ingin disampaikan kepada siapa.

Ahmad Dusuki juga berdoa agar pengundi yang memilih PAS dalam PRU14 diberikan ganjaran syurga.

“Jadikan mereka yang telah pangkah PAS kubur mereka jadi damai dan tenang, tangan mereka jadi saksi di hadapan kamu nanti,” doa Ahmad Dusuki yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Selain itu, beliau turut memohon agar ahli parti itu dikukuhkan dan dijauhkan daripada perpecahan.

“Kami pohon padamu ya Allah agar dibuka hati pengundi di kalangan kami dan akan lihat kezaliman dilakukan BN sebelum ini pada rakyat Selangor dan Malaysia.

“Satukan hati-hati sesama kami dan jauhkan pertengkaran tidak berkesudahan,” katanya menambah bahawa hanya PAS yang membawa ajaran agama Islam.

Pada PRU 2008, PAS yang ketika itu bergabung bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan di Selangor.

Bagaimanapun, selepas PRU13, gabungan pembangkang itu berpecah ekoran perselisihan pendirian PAS dan DAP berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Justeru, DAP dan PKR, bersama Amanah, sebuah parti serpihan daripada PAS, kemudiannya membentuk kerjasama baru yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) , yang kemudiannya disertai oleh PPBM.


Tiada ulasan: