Selasa, 20 Mac 2018

Menteri: Jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan

 
Joseph Entulu menolak dakwaan pihak menyatakan jumlah penjawat awam negara terlalu ramai termasuk membandingkan Malaysia dengan negara lain.





KUALA LUMPUR: Kerajaan berpuas hati dengan jumlah kakitangan dalam perkhidmatan awam sedia ada dan menegaskan tidak akan mengurangkan jumlah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, kerajaan juga tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan jumlah penjawat awam negara ini terlalu ramai, termasuk membandingkan Malaysia dengan negara lain.

“Sebenarnya peratusan atau nisbah yang digunakan dan dibanding dengan negara lain kadangkala (ibarat) membandingkan ‘apple’ and ‘orange’ kerana kita masukkan polis, askar dan sebagainya dalam jumlah perkhidmatan awam kita.

“Ada negara yang polis, askar dan sebagainya tidak dimasukkan (dalam perkhidmatan awam). Jadi perbandingan itu tidak tepat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang bertanyakan mengenai dakwaan sesetengah pihak, termasuk pembangkang kononnya perkhidmatan awam di negara ini sudah menjadi terlebih besar dan ada yang mencadangkan untuk saiz perkhidmatan awam diperkecilkan.

Malah Entulu berkata, terdapat bahagian dalam jabatan kerajaan tertentu yang menghadapi kekurangan pegawai dan kakitangan sehingga mereka terpaksa bekerja pada hari minggu.

“Pegawai-pegawai kita di peringkat setiausaha bahagian ke atas banyak kali tidak ada hari rehat dan terpaksa bekerja pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Ada pegawai tertentu minta bersara apabila dipohon menyambung semula perkhidmatan atas kepakaran mereka. Tetapi mereka cakap letih,” katanya.

Tiada ulasan: