Khamis, 22 Mac 2018
Kenapa Parlimen Ayer Hitam Begitu Penting Pada DAP – Dr Kamarul
Di dalam sidang media beliau bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-52 DAP di Ayer Hitam, Johor, hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan: “Kita telah isytihar calon kita yang pertama dalam pilihan raya yang ke-14 ini, iaitu Saudara Liew Chin Tong daripada Parti DAP, yang akan mewakili Pakatan Harapan (di kerusi P148 Ayer Hitam)”.
Bila ditanya oleh wartawan, Tun Dr Mahathir seterusnya menyatakan: “Kamu tahu apa yang berlaku di Gelang Patah, ia akan berlaku di Ayer Hitam” (“You know what happened to Gelang Patah, it will happen in Ayer Hitam”).
Beberapa persoalan terus sahaja menerjah ke dalam fikiran saya mengenai perkara ini.
Pertama, P148 Ayer Hitam adalah kerusi majoriti Melayu (56%) yang ditandingi oleh calon PAS, Hu Pang Chaw, di dalam PRU 13 lalu, jadi secara logiknya kerusi ini sepatutnya ditandingi oleh calon AMANAH, tetapi kenapa DAP berkeras mahukan kerusi ini?
Kedua, kenapa pengumuman calon pertama Pakatan Harapan adalah membabitkan pengumuman calon DAP, Liew Chin Tong, di kerusi P148 Ayer Hitam, bukan membabitkan pengumuman calon PPBM, PKR atau AMANAH di kerusi lain?
Ketiga, kenapa Tun Dr Mahathir turut dilibatkan di dalam pengumuman calon DAP di kerusi P148 Ayer Hitam ini malah ke tahap didorong menyebutkan kemenangan Lim Kit Siang di kerusi P162 Gelang Patah akan berulang di kerusi P148 Ayer Hitam?
Pada hemat saya, jawapan kepada ketiga-tiga persoalan ini berkisar di sebalik symbolism.
DAP mahu menonjolkan dirinya sebagai hero dan ketua di dalam Pakatan Harapan.
Penyandang kerusi P148 Ayer Hitam adalah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, yang menang agak selesa dengan majoriti 7,310 undi di dalam PRU 13 lalu, berbanding majoriti hanya 379 undi Datuk Seri Liow Tiong Lai di P189 Bentong.
Hanya seorang hero yang boleh mengalahkan seorang Menteri Kabinet yang menang dengan majoriti 7,310 undi di dalam PRU 13 lalu, dan jika calon AMANAH yang berbuat demikian maka AMANAH-lah, dan bukan DAP, yang akan kelihatan sebagai hero.
P148 Ayer Hitam juga sangat penting kepada DAP kerana Liew Chin Tong sendiri menyebut bahawa jika Pakatan Harapan boleh menang di kerusi ini maka ini akan membawa makna Pakatan Harapan boleh menang di 10 kerusi Parlimen lain di Johor.
Johor sebelum ini adalah kubu kuat UMNO dan tempat kelahiran UMNO, sudah tentu tiada yang lebih menggembirakan bagi para pemimpin DAP untuk melihat seorang bekas Presiden UMNO menjilat balik ludah beliau sendiri di depan mereka di negeri itu.
Di dalam PRU 13 lalu Tun Dr Mahathir-lah yang bermati-matian berusaha untuk memastikan Lim Kit Siang kalah di kerusi P162 Gelang Patah sehingga menghamburkan pelbagai kecaman terhadap Lim Kit Siang seperti bahawa Lim Kit Siang adalah rasis.
Menyaksikan Tun Dr Mahathir menyebutkan di depan mereka kemenangan Lim Kit Siang di kerusi P162 Gelang Patah akan berulang di kerusi P148 Ayer Hitam sudah tentulah merupakan satu kemenangan moral yang amat bermakna kepada para pemimpin DAP.
Selari dengan mentaliti DAP mahu menonjolkan dirinya sebagai hero dan ketua di dalam Pakatan Harapan inilah maka pengumuman calon pertama Pakatan Harapan adalah membabitkan pengumuman calon DAP, bukan membabitkan pengumuman calon parti lain.
Begitu pun, berdasarkan dapatan kajiselidik Wan Saiful Wan Jan dari PPBM sendiri bahawa 85% daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP, adalah diragui pengundi Melayu di kerusi P148 Ayer Hitam akan memberikan undi mereka kepada calon DAP.
Apa pun, di mata para pemimpin DAP, symbolism sudah tentulah jauh lebih penting.
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan