Khamis, 8 Mac 2018

BN kembali di Kuala Terengganu?

DETIK DAILY

 
Oleh Rahayu Mustafa

KETIKA berucap pada perasmian Konvensyen BN Negeri Terengganu Khamis lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu jentera BN bekerja keras untuk merampas Parlimen Kuala Terengganu dan empat kerusi di bawahnya pada PRU14 nanti.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Umno Terengganu begitu berharap pengundi Parlimen Kuala Terengganu memilih BN sekali gus meraih kemenangan besar di kawasan ini nanti.

Harapan beliau berasas kerana sebagai ibu negeri dan pusat pemerintahan, kawasan Kuala Terengganu harus diwakili kerajaan yang memerintah iaitu BN, supaya agenda pembangunan dan kelestarian dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Dun Ladang, Dun Batu Burok, Dun Bandar dan Dun Wakaf Mempelam disapu bersih oleh pembangkang.

Jika dilihat melalui sejarah, misi menakluk Kuala Terengganu oleh BN bukan perkara mustahil kerana parti itu pernah menang pada tahun 1978, 1982, 1986 dan 1995.

Ketika gelombang biru melanda negeri ini pada pilihan raya umum tahun 2004, calon BN iaitu Datuk Razali Ismail berjaya mengalahkan calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1933 undi dan beliau mengekalkan kerusi itu pada tahun 2008 menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf atau lebih dikenali sebagai Tok Mun.

Selepas kematian Razali yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November 2008, kerusi Parlimen Kuala Terengganu kembali jatuh kepada Pas dengan Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihan raya umum kecil pada 17 Januari 2009.

Walaupun BN mempertaruhkan Datuk Mohd Zubir Embong, calon yang dilihat mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN pada PRU13 namun keputusannya tetap memihak kepada Pas dengan kemenangan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Hakikatnya, BN sukar mencari pengganti Allahyarham Datuk Razali Ismail walaupun mengetengahkan individu yang mempunyai latar belakang pendidikan sama seperti arwah.

Namun, penyertaan Raja Bahrin ke dalam Amanah pada September 2016 mencetuskan kemarahan pemimpin dan penyokong Pas kerana menganggapnya mengkhianati perjuangan Pas dan kemuncaknya, Pas mengambil pendirian memutuskan hubungan dengan arkitek terkenal itu.

Ini memberi kelebihan kepada BN apatah lagi dengan masalah pembahagian kerusi antara Amanah, PKR dan Bersatu yang sebelum ini dikatakan tidak menemui jalan penyelesaian hingga terpaksa di bawa ke peringkat pusat.

Jika dilihat perkembangan politik pembangkang ini, ia memberi sinar baharu buat BN menawan Kuala Terengganu dan apa yang penting, BN harus memilih calon benar-benar diterima oleh pengundi Kuala Terengganu, bukan individu diinginkan parti tapi ditolak peringkat bawahan.

Dalam situasi sekarang, siapa saja calon BN kerusi Parlimen Kuala Terengganu memikul tanggungjawab amat besar kerana individu itu bukan sahaja perlu pastikan dia menang - sebagaimana dikehendaki parti malah harus kreatif menarik perhatian pengundi kepadanya.

Cabarannya memang hebat. Kehendak dan kemahuan pengundi Kuala Terengganu, sebuah bandar raya yang mana penduduknya terdiri daripada pelbagai bidang ekonomi, sosial dan pemikiran sukar untuk ditafsirkan.

Namun BN harus yakin, dengan gerak kerja mantap, strategi hebat dan calon pilihan rakyat yang mampu mewakili suara hati mereka, tidak mustahil BN kembali menduduki kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Cuma mereka yang tidak terpilih sebagai calon kena reda dan sama-sama bantu menangkan calon parti, bukan memasang strategi sabotaj dan cah keting!-S/Harian

Tiada ulasan: