Selasa, 13 Mac 2018

Azmin: Selangor tunggu laporan penilai untuk tawar nilai ambil alih Splash

 
Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri memerlukan laporan penilai bebas dilantik Putrajaya itu, sebelum boleh menawarkan nilai pengambilalihan Splash.


azmin-ali-splash-air
Gambar Facebook.


KAJANG: Kerajaan Selangor belum menerima laporan daripada penilai bebas yang dilantik Putrajaya berhubung proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), kata Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat baharu sehingga kini, selepas membawa isu pengambilalihan Splash ke Dewan Rakyat pada sidang lalu.

Azmin berkata, kerajaan negeri memerlukan laporan penilai bebas itu, sebelum boleh menawarkan nilai pengambilalihan Splash.

“Jangan salah-menyalah mana-mana pihak. Kita nak selesaikan masalah ini secepat mungkin, tapi kerajaan persekutuan dan negeri perlu bekerjasama.

“Kita dah serah laporan kita, tapi mereka (kerajaan pusat) belum serah laporan mereka kepada kita.

“Selepas laporan diserahkan kepada kerajaan negeri, maka kita boleh duduk berbincang apakah nilai terbaik kita boleh tawarkan kepada Splash,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Aras Jambatan dan Penstabilan Tebing Sungai Jelok, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Selangor di bawah pimpinannya kini tidak bersetuju dengan RM3 bilion yang dipersetujui pada zaman pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim untuk pengambilalihan Splash.

“Saya tegaskan tawaran asal dibuat Tan Sri Khalid kepada Splash RM3 bilion itu kita tak setuju sebab tak ada asas untuk justifikasi mengapa Khalid buat tawaran RM3 bilion.

“Bila saya ambil alih, saya lihat mesti ada asas sebelum kita buat tawaran, maka untuk berlaku adil kepada rakyat, kita buat ‘independent value’ bagi menilai berapa nilai untuk ditawarkan (kepada) Splash,” katanya.

Azmin mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili hari ini yang berkata Putrajaya sedia membantu kerajaan Selangor mengambil alih Splash, jika Azmin mengemukakan harga belian.

Maximus berkata, kerajaan pusat akan mengkaji pilihan dari segi perundingan, termasuk meneliti Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk menyelesaikan penyusunan air di Selangor, atas faktor keselamatan negara.

Isu pengambilalihan Splash gagal diselesaikan sejak 2014 dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang semalam memberi masa 4 bulan sehingga Julai depan kepada kerajaan Selangor untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu bertambah buruk.

Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran kerajaan Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.

Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.

Tiada ulasan: