Khamis, 1 Mac 2018

Abim Bantah Usaha Kembalikan PPSMI, Desak DLP DiMansuhkan Serta Merta

DETIK DAILY

 
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamed yang bersedia mempertimbang untuk mengembalikan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

ABIM menegaskan pandangan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik perlu diajar melalui pengantar bahasa Inggeris sudah disangkal oleh banyak kajian ilmiah sama ada dalam negara mahupun kajian pada peringkat antarabangsa.

Antara sandaran utama adalah kajian dasar PPSMI yang dibuat Jemaah Nazir Persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri menerusi sampel 1,942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot.

Malah ada yang dengan drastik merudum apabila naik ke tahun lebih tinggi.

Selain itu, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), menerusi 90 sekolah rendah, 70 sekolah menengah yang meliputi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah pedalaman, dan Sekolah Kebangsaan Pulau menunjukkan:

(1) Untuk sekolah rendah mata pelajaran sains hanya menyumbang peningkatan Bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus dan Matematik tiada sumbangan.

(2) Sekolah menengah (aliran sastera) bagi subjek Matematik hanya 1.0 peratus dan subjek Sains hanya 0.6 peratus.

(3) Sekolah menengah (sains) Kimia 0.2 hingga 0.6 peratus, Matematik Tambahan 0.3 peratus.
Justeru, tindakan memgembalikan dasar PPSMI adalah tindakan yang membingungkan, mengelirukan serta tidak bertitik tolak berasaskan fakta dan kajian.

Sementara itu, hasil ujian antarabangsa — Trend Dalam Pengajian Sains dan Satematik (Timms) 2007 dan Program Penilaian untuk Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 — sewaktu era PPSMI menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam.

Malaysia berada di kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999 dan 2003 (sebelum PPSMI) dalam kelompok 10 terbaik daripada 58 negara.

Dalam masa yang sama, ABIM juga ingin mengulangi tuntutan agar kerajaan memberi fokus untuk memperkasakan subjek Bahasa Inggeris di sekolah bukan dengan menjadikannya sebagai bahasa penghantar di sekolah kebangsaan.

ABIM dengan ini turut menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan perlu memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP) dengan serta-merta yang secara jelas mirip dengan dasar PPSMI.

Dalam pada itu, pemimpin dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan, ahli bahasa dan golongan cendekiawan sebelum ini telah menegaskan bahawa usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tetapi tidak dengan menggantikan bahasa pengantar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Justeru, ABIM menyatakan bahawa masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris bukan terletak kepada faktor bahasa pengantar yang diguna dalam sistem pendidikan tetapi ialah pendekatan pengajaran terutama dalam subjek Bahasa Inggeris yang digunakan.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
PRESIDEN ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM). 
 
 

Tiada ulasan: