Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN MEDIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KENYATAAN MEDIA. Papar semua catatan

Selasa, 1 September 2020

Tindakan tegas penceroboh kebun Musang King

HARAKAH DAILY

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh individu dan organisasi yang terlibat dalam kes pencerobohan tanah kerajaan negeri secara haram yang berlaku di Raub, Pahang.

Jumlah keluasan hutan yang diceroboh adalah 4400 hektar. Tindakan mana-mana pihak yang dilihat membela penceroboh adalah memalukan.

Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengisi periuk nasi sendiri di dalam isu ini.

PAS menyokong ketegasan Kerajaan Negeri Pahang yang melakukan operasi pemutihan tanah haram di seluruh negeri tersebut. Langkah kerajaan negeri yang menetapkan denda kepada peneroka haram dilihat sebagai usaha bagi membanteras kegiatan pencerobohan ini agar tidak berleluasa.

PAS berharap pihak berkuasa melaksanakan siasatan dengan adil terhadap semua pihak dan diberikan hukuman setimpal jika sabit kesalahan.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 – HARAKAHDAILY

Rabu, 8 Julai 2020

30 hingga 40 tahun akan datang, Media terpesong laporan


Berikutan dengan laporan yang terpesong dibuat semalam oleh beberapa portal berita terhadap kenyataan YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, saya menyeru kepada pengamal media berkenaan supaya mempertahankan professionalisme mereka dalam melaporkan sesuatu berita.

Laporan berita yang menyebut Dato Tuan Ibrahim menyatakan masalah air di Kelantan akan cuba diselesaikan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun, bukan sahaja tidak tepat malah terpesong sama sekali dari maksudnya yang sebenar.

Sebenarnya Dato Tuan Ibrahim menyatakan, Kementerian Alam Sekitar dan Air akan memohon peruntukan sebanyak RM 7 billion dalam RMK 12 (2021 hingga 2025) untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan secara holistik.

Dengan pendekatan penyelesaian secara holistik ini, YB Menteri Alam Sekitar dan Air berharap rakyat Kelantan tidak lagi menghadapi masalah bekalan air untuk tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang.

Bagaimanapun amat dikesali apabila ada portal berita membuat pelaporan yang terpesong, dengan menyebut masalah air di Kelantan hanya akan selesai 30 hingga 40 tahun akan datang.

Sepatutnya wartawan yang melaporkan berita itu maklum dengan pengetahuan am, bahawa tempoh pelaksanaan RMK 12 (peruntukan RM 7 billion dipohon) ialah antara 2021 sehingga 2025, bukannya 30 hingga 40 tahun akan datang.

Laporan berita yang tidak jelas dan tidak tepat ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat awam, bahkan bekas Timbalan Menteri dan Professor pun turut terpedaya dengan laporan seperti itu.

Sepatutnya, apabila wartawan atau editor tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh YB Menteri, mereka boleh bertanya secara langsung minta penjelasan di dalam sidang akhbar tersebut, atau merujuk kepada Setiausaha Akhbar Menteri dan Unit Komunikasi Korporat kementerian yang terbabit.

Sekali lagi saya memohon kepada semua pengamal media merangkumi editor dan wartawan lebih berhati-hati membuat pelaporan berita dengan membuat pertanyaan lanjut sekiranya mereka tidak jelas dengan apa yang dinyatakan oleh seseorang menteri di dalam sesuatu sidang akhbar.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air

Selasa, 7 Julai 2020

Laporan Al Jazeera: Imigresen minta kerjasama orang awam kesan warga Bangladesh

Laporan Al Jazeera: Imigresen minta kerjasama orang awam kesan warga Bangladesh
Warga Bangladesh ini sedang dikesan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). - Foto/Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia meminta kerjasama orang awam untuk menjejak seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Individu tersebut, Md Rayhan Kabir, berusia 25 tahun dan dikesan di alamat terakhir di Sirhan Legacy, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menghubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI) Nurulmasha Nazlinan Bin Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di talian 03-88801298 / 1294 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan  03-88801555 selepas waktu pejabat.


Rayhan sebelum ini terbabit dalam laporan dokumentari terbitan Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' dan mendakwa wujud diskriminasi dalam cara Malaysia mengendali kes COVID-19 membabitkan warga asing.


Kenyataan media dari Jabatan Imigresen.
Kenyataan media dari Jabatan Imigresen.

Selasa, 30 Jun 2020

Dibela manusia yang baik tanpa perkauman

MUHAMAD MAT YAKIM

KALAU ada yang terfikir Menteri Besar (MB) Kedah turun padang mendekati rakyat seperti sengaja dibuat-buat untuk raih sokongan, atau sekadar sandiwara yang bersifat sementara, fahamilah ini bukan baru bagi beliau.

Sebagai Pegawai Persatuan Pengguna Pulau Pinang, sebagai Pengarah PASRelief, beliau sudah lama aktif membantu mereka yang bermasalah termasuk mangsa bencana dalam dan luar negara yang jauh lebih dahsyat.

Kalau ada yang curiga soal pandangannya terhadap Rohingya, sudah bertahun-tahun beliau terlibat secara langsung membantu mereka secara dekat.

Daripada pengalaman itu, beliau punya pemahaman mengenai etnik Rohingya yang ternyata lebih daripada kita. Sebagai kelompok manusia, Rohingya juga ada yang baik, dan ada yang buruk. Macam kitalah juga!

Sudah tentu, yang dibela adalah yang baik, yang teraniaya, yang jadi mangsa dan amat-amat memerlukan pembelaan.

Yang sering jadi punca salah faham, bukan semua etnik Muslim dari Myanmar itu Rohingya. Ada juga warga Myanmar bukan-Islam yang pegang kad UNHCR berada di negara ini. Dari segi rupa, hampir sama dan sukar dibezakan oleh kita yang tidak mendekati mereka.

Etnik Kela (Muslim)! Misalnya, juga dari Myanmar. MB juga seperti kita, sayangkan negara dan orang-orang kita sendiri. Jadi berpada-padalah dalam mencurigai supaya kita terhindar daripada dosa memfitnah, untuk kebaikan kita sendiri juga.

Dulu, beliau semata-mata aktivis. Sekarang sebagai ketua kerajaan, dalam mengambil langkah tindakan, ada limitasi dalam pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ada yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut undang-undang. Sudah tentu, dalam apa jua tindakan, beliau akan utamakan rakyat Kedah yang 2.2 juta ini.

*MUHAMAD MAT YAKIM-Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY

Ahad, 14 Jun 2020

Tiada lagi sidang media harian Covid-19 mulai minggu depan

Malaysiakini

Selepas lebih tiga bulan menjadi perhatian rutin baru orang ramai ketika wabak Covid-19, sidang media Kementerian Kesihatan tidak lagi akan menjadi urusan harian bermula pada minggu depan.

Walaupun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan kementerian akan terus memberikan makluman kepada masyarakat mengenai statistik terkini virus tersebut.

"Dan kita tetap akan menjalankan atau memberi maklumat yang terkini tetapi mungkin minggu depan kita akan jarakkan sidang akhbar.

"Dan saya ucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan media yang telah kerja keras untuk sama-sama menjayakan untuk memutuskan penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau tidak memberikan perincian mengenai jadual sidang media yang baru. Taklimat Covid-19nya esok akan berjalan seperti biasa.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan bahawa kemas kini setiap hari akan berterusan dalam bentuk kenyataan akhbar.

Perubahan ini berlaku sejak kes Covid-19 di Malaysia menurun pada beberapa minggu kebelakangan.

Noor Hisham telah mengadakan taklimat Covid-19 melalui siaran langsung pada setiap hari dari 27 Februari.

Sepanjang tempoh itu, sidang media itu pernah 'cuti rehat' sebanyak dua kali, pada 9 Mei dan hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Jumaat, 12 Jun 2020

KEADILAN tidak bertanding PRK DUN Chini kerana Covid-19 – Saifuddin Nasution

 

PRK DUN CHINI

Umum sedia maklum masalah wabak Covid-19 masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara kita. Usaha gigih Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan telah berupaya mengekang penularan yang lebih meluas.

Pada masa yang sama, dalam konteks kebiasaan baharu (‘new normal’) prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihanraya, namun aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan.

KEADILAN berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan. Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya.

Maka, mengambil kira perkara-perkara di atas, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa KEADILAN tidak akan meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Chini.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN

Rabu, 27 Mei 2020

Arak: PAS cadang tubuh Jawatankuasa Khas Kabinet

KAMARUZAMAN MOHAMAD

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius kes kemalangan mati membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia di tempat kesepuluh di dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia. Statistik yang dikeluarkan pertubuhan tersebut menunjukan rakyat malaysia membelanjakan lebih dari RM2.0 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata 15 liter per kapita pada tahun 2016. Pengambilan bir di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Tragedi pemandu mabuk bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Kesalahan ini berpunca daripada kelemahan perundangan sedia ada dan penguakuasaan, selain dari sifat pentingkan diri dan degil pemabuk. Lebih malang menjadi seorang pembunuh bilamana telah menggadaikan jiwa yang tidak bersalah.

Melihat kepada kekerapan isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini, PAS dengan ini mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam tempoh penggantungan itu dibuat, Kerajaan Perikatan Nasional juga perlu menubuh Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk bertindak segera tangani kes ini.

Menurut langkah ini, PAS meminta Jabatan Kastam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka dirangkaian kedai serbaneka 24 jam.

Nyawa orang awam adalah satu keutamaan yang harus difikirkan oleh kerajaan secara serius kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

*  KAMARUZAMAN MOHAMAD- Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 HARAKAHDAILY

Selasa, 19 Mei 2020

Memang wajar Anwar tidak hadir sidang media

Manzaidi Mohd Amin
Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir ke sidang media anjuran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Perdana petang ini, sebagai keputusan bijak.

Tidak ada sebab untuk Ahli Parlimen Port Dickson itu hadir kerana sebagai Ketua Pembangkang, Anwar sepatutnya diberi kuasa untuk mengendalikan sidang media berkenaan, bukan dikawal sepenuhnya oleh Dr. Mahathir.

Menurut Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jali dalam kenyataanl: “Apabila Dr. Mahathir ada, semua mikrofon dan soalan yang dituju oleh wartawan tentunya akan dihala kepadanya, dan Anwar akan hanya main tepi meja atau jadi background wallpaper sahaja,”.

Sidang media yang dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang itu diadakan sebaik selesai sidang Parlimen Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen di sini, pagi ini.

Dalam sidang media itu, wartawan bertanyakan Dr. Mahathir mengapa Anwar tidak hadir.

“Anwar tak dapat datang. Tapi dia bersetuju menandatangani kenyataan bersama,” katanya ringkas.

Sidang media itu difahamkan bertujuan mengulas mengenai sidang sehari Parlimen yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Isham berkata, sudah tentu Anwar tidak akan hadir sidang akhbar yang dipanggil Dr. Mahathir.

“Sebab Anwar tentunya tahu yang Dr. Mahathir akan berpelakuan seolah dia (Mahathir) masih lagi ketua pembangkang, bukannya Anwar,” katanya. – MalaysiaGazette


Ahad, 10 Mei 2020

Perdana Menteri sampaikan perutusan khas petang ini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF07052020_PKPD-SELAYANG-BARU_07
Gelagat penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selayang. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan khas petang ini.

Perutusan khas yang akan disiarkan secara langsung pukul 2 petang ini dibuat menjelang dua hari lagi tamat tempoh Perintah Kawalan Diperketatkan Bersyarat (PKPB).

Pelaksanaan PKPB diumumkan Muhyiddin pada 1 Mei lalu selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada mulai 18 Mac lalu diikuti dengan PKP Diperketat di beberapa kawasan dengan yang terbaharu di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

PKP fasa keempat PKP dijangka berakhir 12 Mei ini dan rakyat tertunggu-tunggu pengumuman petang ini sama ada ia akan dilanjutkan lagi atau sebaliknya terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri pada 24 Mei ini.

Pelaksanaan PKPB menyaksikan hampir kesemua aktiviti ekonomi digerakkan semula manakala kegiatan harian seperti riadah serta beberapa kategori sukan dibenarkan dengan syarat pematuhan penjarakan sosial.

Pandemik Covid-19 yang mula menular di Malaysia Disember lalu telah mengakibatkan 108 kematian sehingga semalam dan 6,589 kes positif. – MalauysiaGazette

Rabu, 29 April 2020

Lebih banyak sektor dibenar kembali beroperasi


HARAKAH DAILY



PENULARAN wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini.

Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal.

Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat. Usaha ini adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

Pada 23 April 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kes-kes COVID-19 telah menurun dengan ketara susulan dari usaha berterusan pihak Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19. Bagi memastikan pencapaian yang positif ini berterusan, Kerajaan telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei 2020.

Dengan pelanjutan ini, Kerajaan sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara berperingkat. Ini merangkumi pembukaan beberapa sektor dan sub-sektor ekonomi tambahan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ketat bagi memastikan syarikat terus beroperasi dan pekerja berada dalam persekitaran yang selamat.

Sehubungan ini, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang semalam (27 April 2020) telah membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat. Mesyuarat telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

Perbincangan tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisien kepada pelanggan.

Keputusan mesyuarat EAC telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi ini (28 April 2020) dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, Kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing. Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara. Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Sementara Kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan.

YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)
 – HARAKAHDAILY

Rabu, 26 Februari 2020

Teks penuh perutusan khas Mahathir

MALAYSIAKINI




Dr Mahathir Mohamad pada perutusan khasnya, sebentar tadi yang disiarkan di televisyen menjelaskan mengapa beliau meletak jawatan perdana menteri, Isnin lalu.

Pada perutusan itu, beliau turut menjelaskan keadaan politik semasa negara.

Berikut kenyataan penuhnya itu.



Terlebih dahulu izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik Negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dikalangan tuantuan dan puan-puan.

Seperti umum ketahui, saya telah menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Walaubagaimanapun, saya telah dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong kemudiannya, dan setelah berbincang selama lebih satu jam, Tuanku telah bersetuju menerima surat peletakan jawatan saya dan setelah itu menitah saya supaya menjadi Perdana Menteri Interim.
Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.

Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.

Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.

Sebenarnya saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali.

Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.

Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba.
Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya Bersatu memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.

Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.

Kesannya jika Bersatu sokong PAS dan Umno maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.

Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya.

Maka terpaksalah saya letak jawatan.

Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya saya dilantik sebagai perdana menteri sementara.
Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan ditolak oleh ramai, tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara.

Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

Jika diizin inilah yang akan saya cuba.

Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT saya diberi petunjuk dalam usaha ini.

Sekian, terima kasih.


Isnin, 24 Februari 2020

Dzulkefly, Salahuddin beri 'kenyataan terakhir' sebagai menteri

MALAYSIAKINI




Ketika negara sedang hangat dengan berita gerakan penjajaran baru politik, Dr Dzukefly Ahmad hari ini memberi bayangan seolah-olah beliau akan melepaskan jawatan sebagai menteri kesihatan.

Pemimpin Amanah itu memberi gambaran berkenaan dalam kemas kini berhubung Covid-19 di Twitter.

“Alhamdulillah! Dua lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan discaj hari ini. Tiada kes positif baru. Palms up together.

“Kes-14 & kes-19 sebelum ini dirawat di HKL. Jumlah yang telah pulih sepenuhnya dan discaj hingga hari ini 20 orang.

“Dua masih dirawat di wad dan stabil. Tweet saya terakhir sebagai YBMK. TK!,” tulisnya.
 
Setakat 23 Feb, Covid-19 telah menjangkiti 78,724 orang di seluruh dunia, kebanyakannya di China. Wabak itu sudah mengorbankan 2,462 nyawa, dengan 20 kematian berlaku di luar China.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, turut memberi gambaran sama.

Salahuddin dalam satu kenyataan meminta maaf kepada semua petani, penternak dan nelayan berikutan khidmat yang diberikannya selama kira-kira 20 bulan lalu.

"Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan baru nanti.

"Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan.

"Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua," katanya.

PH berdepan kemungkinan ditumbangkan selepas Bersatu mengumumkan keluar pakatan itu.

Pada masa sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli parlimen PKR lain mengumumkan keluar parti.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan disusuli dengan pengerusi Bersatu hari ini.



Rabu, 19 Februari 2020

Ini sebabnya SPV ambil alih aset TH

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
61672309_2456937764345892_1683585338460602368_n
Dr. Zaharuddin Abd Rahman

KENYATAAN PENUH DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN.

SAYA akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung milik Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.

Menurut standard laporan kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut Pricewaterhouse Coopers (PwC), TH sebelum ini menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.

PwC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.

PwC berkata tindakan menyembunyikan kerugian ini dengan tujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PwC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.

Bagi menghadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, TH dilihat berusaha mengemas kini aset tidak menguntungkan yang bernilai lebih RM 19.9 billion (berbanding asset yang bagus bernilai RM 57.1 bil). Ertinya aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada TH bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku TH hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan, TH yang akhirnya akan menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.

Maka bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak TH memilih untuk memindahkan atau menukarkan aset tidak untung ini (sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh TH sendiri dan kaedah perakaunan) kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.

Ini satu bail out

Ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus itu pada waktu ini, maka Kementerian Kewangan adalah entiti yang tepat mewakili kerajaan Malaysia bagi tujuan menerima pemindahan dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan saham keutamaan boleh tebus – Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH.

Pegangan Sukuk bertempoh matang tujuh tahun terbabit akan memberikan jangkaan pulangan sebanyak lima peratus setahun kepada TH berbanding aset tidak bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa. Bagaimanapun RCPS-I yang bernilai RM 9.9 bilion tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH. Jika digabungkan kedua-duanya bererti untuk aset bernilai RM 19.9 bilion, TH bakal mendapat pulangan 2.5 peratus setahun.

Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan ‘merampas’ aset tiada hasil itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.

Semua wang pendeposit turut dijamin oleh kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan ‘hampir’ boleh dikatakan sedang ‘bail out’ TH melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.

Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.

Sefaham saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrumen pelaburan Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH.

Pertama, ia menjadikan TH mungkin berpeluang mendapat keuntungan daripada pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah impairment loss dalam laporan kewangan Tabung Haji.

Kedua, ia memastikan TH mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh shariah itu, TH akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru – menurut aktanya – tidak boleh membayar dividen.

Jangan politik berlebihan

Adalah hal biasa SPV di bawah MOF Inc bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan. Dulu pun kerajaan merawat non-performing loans melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu.

Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF ialah dengan mengambil aset dengan ’bayaran’ sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada TH. Ini tidak bermakna aset itu dimiliki oleh menteri kewangan, timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi dipegang oleh kerajaan Malaysia sendiri. Mungkin menjadi sebahagan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa akan datang juga.

Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebih-lebihan (sedikit saja adalah natural kerana tiada apa yang dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik (dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya.

Semua ahli lembaga pengarah TH hari ini bukan dari kalangan politik dan cadangan pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya datang dari perbincangan lembaga Pengarah, PwC dan pengurusan tertinggi sebelum dibentang di Kabinet.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia – menunaikan ibadah Haji – ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan penyesuaian.

Jika apa yang dijangka ini tidak berlaku dan TH menjadi semakin teruk dan dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala Himpunan Kesyukuran Penolakan Icerd sekali lagi atau boleh juga diubah kerajaan yang ada melalui PRU ke-15 kelak.- MalaysiaGazette

*DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN MERUPAKAN PAKAR EKONOMI ISLAM.

Ahad, 16 Februari 2020

MAPIM bantah G25 berselindung sebalik perlembagaan persoal kedudukan Islam






MAPIM bantah usaha kumpulan G25 yang menggerakkan penghapusan undang-undang berhubung murtad.

Pengerusinya, Mohamad Azmi Abdul Hamid berkata, hujah yang diberi jelas menunjukkan mereka yang terbabit cetek ilmu agamanya.

Berikut kenyataan penuh:

Kenyataan Media

MAPIM BANTAH G25 BERSELINDUNG DISEBALIK PERLEMBAGAAN UNTUK PERSOAL KEDUDUKAN ISLAM

Kami kesal dan membantah keras laporan G25 yang mempersoalkan kewujudan Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (NCIA). dan Jakim.
Kani berpendirian G25 nampaknya jelas mahu merungkai status Islam dan agensi-agensi yang berkaitan dengan Islam
 dinegara ini.

G25 mempertikai kedudukan agensi Islam yang ada kini dengan alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Kami mendapati bahawa mereka mahu mempolemikkan isu Islam dan bidangkuasa agensi Islam di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi.
Hatta dalam hal murtad sekalipun G25 berhujuah bahawa ia urusan seseorang individu dan Tuhan semata-mata, agensi Islam tidak perlu masuk campur.

Jelas, dengan hanya mengguna hujah yang cetek dalam disiplin perundangan Islam dan bagaimana ia digunapakai oleh sesebuah negara berdasarkan dalil yang disepakati oleh jumhur ulama, G25 dengan mudah merumuskan bahawa kesalahan hukuman murtad perlu diketepikan.

Kami menegaskan bahawa G25 kini memasukki ruang perbahasan yang sangat sensitif dan merbahaya yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kemarahan umat Islam.

Kekeliruan dan debat yang sengaja dicetuskan secara terbuka berusaha menonjolkan seolah-olah kedudukan Islam dan bidangkuasa agensi Islam di Malaysia adalah tidak sah.

G25 berpegang kepada premis bahawa kedudukan Islam di negara ini mesti dibataskan melalui tafsiran perlembagaan mengikut faham sekular dan dengan itu agama Islam berkedudukan sama taraf dengan agama lain.

Kami menegaskan pihak kerajaan perlu mempertahankan kedudukan Islam dan segala pembangunan Islam dinegara ini.

Pihak Majlis Raja-raja Melayu bukan sahaja berkuasa dalam melindungi dan membangunkan Islam diperingkat negeri malah juga diperingkat kebangsaan.

G25 tidak berhak mempersoalkan kewujududan , bidangkuasa dan peranan yang diberi kepada agensi seperti Jakim kerana ia terangkum dalam makna dan konsep Islam adalah agama persekutuan.

Kami mengesa supaya G25 disiasat oleh pihak berkuasa untuk memastikan semada ia melanggar peruntukan undang-undang yang ada bila menyentuh mengenai kedudukan Islam dalam negara ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid
- Presiden MAPIM

Sabtu, 15 Februari 2020

PH Harus Segera Tunaikan Janji Tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Tabung Haji



KUALA LUMPUR,– Muafakat Nasional mendesak agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala dakwaan salahlaku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji sebagaimana janji Pakatan Harapan (PH), segera ditubuhkan bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Muafakat Nasional mengikuti rapat pelbagai isu-isu yang menyentuh Lembaga Urusan Tabung Haji.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji yang sehingga kini tiada satupun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi boat jemaah Haji atas justifikasi konsep Istitha’ah.

“Terbaru, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 1 01 ,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan omat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM 10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan Tabung Haji.”

Jelas kenyataan tersebut, harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup istimewa di hati rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

“Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urosan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

“Kecemerlangan Tabung Haji sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.”

Sebab itulah, katanya, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan. – UMNO Online

LIHAT KENYATAAN MEDIA DI SINI


Sabtu, 8 Februari 2020

UMNO, Pas berpegang kuat pada Piagam Muafakat Nasional – Annuar

Manzaidi Mohd Amin
MGF20082019_PC-UMNO-PAS_06
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan masuk mana-mana rumah lain, sebaliknya membina rumah sendiri dengan pintu sedia dibuka, kata Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, setakat ini, parti itu dan Pas saling merujuk dan berpegang kuat kepada perjanjian yang dimeterai (MoU) dalam Piagam Muafakat Nasional (MN).

Kata beliau, apa sahaja perkara asas walaupun pendekatan berbeza akan dibincangkan bersama untuk capai kesepakatan.

“MN semakin utuh, UMNO dan Pas sudah sepakat apa sahaja perkara melibatkan hal asas walaupun pendekatan kedua parti mungkin berbeza, akan ditangani bersama.

“Yang pasti, kedua parti ini saling merujuk dan berpegang kuat pada MoU Piagam MN,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Piagam MN dimeterai oleh dua presiden parti, iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas pada 14 September 2019.

Berikut adalah kandungan Piagam MN sebagai tanda termeterainya kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO dan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan Pas, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI 
DAN DATUK SERI ABDUL HADI AWANG MalaysiaGazette


Ahad, 5 Januari 2020

PAS ekstrem: DHPP Sabah sanggah Madius Tangau

HARAKAH DAILY


 

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UPKO, Madius Tangau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah kerana menyatakan Umno dan PAS adalah parti ekstrem.

Saya sebagai Pengerusi DHPP Sabah amat berbangga berada dalam PAS dan saya akan membantu kempen dalam PRK Kimanis pada kali ini.

Hanya orang yang sombong dan bongkak saja yang menyatakan PAS ini parti ekstrem. Madius sendiri adalah seorang pengkhianat yang pernah menjadi duri dalam daging pada BN. Selepas kemenangan sesuka hati melompat parti.

Saya sendiri masih beragama Kristian dan juga mempunyai anak-anak yang sudah memeluk agama Islam. Hidup kami tetap harmoni dan aman damai.

Saya pasti ajaran Islam tidak ada yang melampau. Pengalaman saya berada dalam PAS amat baik dan layanaan mereka memang luar biasa. Akhlak orang-orang PAS juga sangat terpuji.

Saya nasihatkan agar semua yang turun berkempen di Kimanis menunjukkan moral yang baik. Kita jangan saling tuduh menuduh dan membuat fitnah. Tunjukkan kita menjalankan tugas dan janji yang boleh dipenuhi. Jangan berjanji bulan dan bintang tetapi semuanya tidak dapat dilaksanakan.

SATAIL MAJUNGKAT - Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah
  HARAKAHDAILY

Khamis, 26 Disember 2019

Pemimpin PAN selindung kezaliman Komunis China?

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA



PAS Kedah merasa amat kesal berikutan kenyataan Menteri Agama Malaysia yang mengatakan ‘semua laporan negatif terhadap kezaliman Komunis China ke atas Muslim Uyghur adalah berita palsu’.

Kenyataan itu agak bertentangan realiti sebenar memandangkan penderitaan Muslim Uyghur akibat kezaliman Kerajaan Komunis China sudah lama berlaku, cuma ia disembunyikan daripada pengetahuan umum dan menyebabkan seperti isu baru berlaku.

Tempoh masa yang lama sejak 1949 lagi bukan sahaja melibatkan penderaan dan seksaan secara fizikal namun kemuncaknya sehingga membawa kepada pembunuhan.

Amat malang sekali, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hanya menyebutkan sekitar 1,000,000 bilangan Muslim Uyghur dibunuh sedangkan masyarakat dunia yakin bilangan tersebut lebih besar daripada itu.

PAS Kedah juga mempersoalkan bagaimana pemimpin PAN itu mendakwa  ketika lawatan rasminya ke sana beliau disambut dengan permaidani merah dan tempat-tempat yang dilawati selamat dan aman sedangkan umat Islam Uyghur menderita dengan pelbagai seksaan dan kezaliman.

Perlu diingatkan, di mana sahaja berada umat Islam tetap bersaudara, ‘Cubit paha kiri, paha kanan terasa’,  ‘Seperti aur dengan tebing’, ‘Seperti kuku dan isi’  serta seperti susunan batu-bata di sesebuah bangunan yakni saling kukuh-memperkukuhkan.

Justeru itu di manakah konsep Rahmatan Lil-A’lamin yang galak dipergunakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan di dalam isu ini? Di mana hendak diletakkan erti Hadis Nabi Muhammad S.A.W bererti:

“Mereka yang tidak mengambil tahu urusan orang Islam lain, mereka bukan daripada golongan kami.”

Oleh itu, rakyat  Kedah yang hidup dalam keadaan aman dan damai ini wajar menyuarakan bantahan secara terbuka tidak mengira  atas nama agama, keturunan lebih-lebih lagi sebagai menghormati kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu satu Himpunan Aman Membantah Kezaliman Kerajaan Komunis China ke atas Muslim Uyghur akan diadakan pada 27 Disember (Jumaat), jam 2.30 petang selepas Solat Jumaat, bertempat di Dataran Zero (Jam Besar), Sungai Petani.

Maka PAS Kedah menyeru agar hadir beramai-ramai untuk  menyuarakan bantahan dan membangkitkan kecintaan kepada kedamaian secara total.

Terima Kasih

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
HARAKAHDAILY

Khamis, 12 Disember 2019

PAS, Umno junjung kasih atas titah Tuanku Sultan

HARAKAHDAILY



SEMPENA hari Ulang Tahun Keputeraan yang ke-74, DYMM Tuanku Sultan Selangor kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan rakyat Selangor agar tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga terlibat mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

Titah Tuanku lagi walaupun PKM kononnya dikatakan menentang penjajah namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia Merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Malah ramai anak-anak bangsa dari pelbagai keturunan termasuklah dari pihak Polis dan Angkatan Tentera Malaysia telah terkorban dan menanggung derita akibat aktiviti keganasan pihak PKM ini.

PAS dan Umno Negeri Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan itu dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara itu.

Sehubungan dengan itu kedua-dua parti turut mahu menegur dan mengingatkan Adun DAP Sungai Pelek, YB Ronnie Liu Tian Khiew agar menarik balik kenyataannya sebelum ini yang pernah menyatakan simpati serta mengagung-agunkan perjuangan PKM dan segera memohon maaf pada Tuanku Sultan atas kebiadapannya itu.

Pada 1 Disember 2019 lalu YB Ronnie Liu telah hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun ke 30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang. Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan YB Ronnie Liu dalam ucapannya telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.

PAS dan Umno Selangor turut menuntut agar dengan semangat titah Tuanku Sultan ini jangan lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Negeri Selangor.

Daulat Tuanku.

YBHG. DATUK MAT NADZARI BIN AHMAD DAHLAN
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor

YB DATO DR AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Tarikh: 15 Rabiul Akhir 1441/ 12 Disember 2019 – HARAKAHDAILY

Sabtu, 30 November 2019

Banjir: Khidmat Malaysia buka Bilik Gerakan

HARAKAHDAILY



SEHINGGA pukul 9.30 malam tadi, Bilik Info Bencana Khidmat Malaysia menerima maklumat telah berlakunya banjir di beberapa buah negeri iaitu Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak.

Di Kelantan, dua daerah yang terlibat adalah Daerah Kuala Krai dan Tanah Merah manakala di Terengganu melibatkan Daerah Besut, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu. Di Perak setakat ini melibatkan penduduk di Daerah Hilir Perak.
 
Khidmat Malaysia telah mengarahkan supaya semua Bilik Gerakan di peringkat Parlimen/Daerah yang terlibat dibuka serta merta dan setiap petugas dikerahkan untuk bersedia memberikan bantuan kepada mangsa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Perkembangan bencana akan dikemaskini di akaun Facebook dan akaun Twitter Khidmat Malaysia Bilik Gerakan Info Bencana akan terus memantau perkembangan dari masa ke masa.

Sumbangan kepada mangsa banjir boleh disalurkan ke akaun Maybank Khidmat Malaysia (No. Akaun 5642 9431 0529).

*KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
 – HARAKAHDAILY