Isnin, 15 Januari 2018

Pas sokong gesaan pinda Akta Kerja 1955 tangani diskriminasi

 
Nasrudin Hassan
 
 
Manzaidi Mohd Amin


KUALA LUMPUR – Pas menyatakan sokongan dengan gesaan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi memastikan isu diskriminasi di tempat kerja dapat ditangani dengan baik.

Sokongan itu berkaitan dengan susulan isu larangan pemakaian tudung di bahagian khidmat pelanggan oleh sebahagian hotel di Malaysia penghujung tahun lalu.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, beliau telah menegaskan perkara itu bukan sahaja tidak konsisten dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan tiada diskriminasi dalam kalangan warganegara termasuk melibatkan agama, malah tidak mewajahkan Islam sebagai tunjang perlembagaan.

“Kita mempunyai Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), tetapi kedua-duanya belum cukup komprehensif untuk menangani pelbagai isu diskriminasi di tempat kerja.

“Selain isu diskriminasi pemakaian tudung, isu melibatkan diskriminasi golongan wanita juga antara yang perlu diberi perhatian oleh pindaan tersebut,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Nasrudin berharap, kerajaan dapat melakukan kajian terperinci sebelum mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap akta berkenaan.

Ini kerana katanya, isu diskriminasi perlu dilihat dari pelbagai sudut pandang.

Pindaan itu, menurut beliau, juga bertepatan pada masanya memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang akta berhubung isu anti diskriminasi, selain Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

“Beberapa negara lain telah memperkenalkan akta anti diskriminasi seperti di Jepun yang memperkenalkan ‘Equal Employment Opportunity Act’ dan Austria, ‘Equality of Treatment Act’.

“Maka, Malaysia juga perlu bergerak ke arah trend yang sama bagi memastikan keharmonian di dalam kepelbagaian ini dapat dikekalkan bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: