Ahad, 28 Januari 2018

13 daripada 88 hotel di Semenanjung larang pekerja bertudung

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia mendapati 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar 'standard grooming' yang melarang pekerja wanita bertudung.
 
Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan antara Disember 2017 sehingga 26 Januari lalu, larangan itu membabitkan bahagian tertentu, khususnya di bahagian makanan dan minuman (F&B) serta bahagian hadapan.
 
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menasihatkan 13 hotel terbabit mengambil tindakan pembetulan supaya tidak melaksanakan larangan bertudung.
 
"Kementerian memandang serius terhadap isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan.
 
"JTKSM akan meneruskan pemantauan ke atas beberapa lagi premis pekerjaan di sektor perhotelan," katanya dalam kenyataan di sini.
 
Sebagai langkah menangani diskriminasi di tempat kerja, Riot berkata, cadangan pindaan Akta Kerja 1955 susulan larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
 
Beliau berkata, cadangan pindaan ini meliputi kawalan terhadap isu bersabit larangan terhadap pekerja wanita bertudung di tempat kerja.
 
"Kementerian sedang meneruskan perbincangan melibatkan majikan, pekerja dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan akta itu.
 
"Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) pada 17 Januari lalu. Hasilnya, MAH memberi komitmen untuk menggesa semua pengusaha hotel di bawah MAH untuk tidak menetapkan sebarang dasar melarang pemakaian tudung di tempat kerja.
 
"MAH juga menggalakkan semua ahli untuk memasukkan pemakaian tudung sebagai pakaian seragam dalam kod etika berpakaian," katanya.
 
Beliau berkata, kementeriannya juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), esok.
 
Katanya, perbincangan itu bagi memberi penjelasan mengenai langkah menyelesaikan isu larangan bertudung di tempat kerja. 


Tiada ulasan: