Isnin, 29 Januari 2018

PAS tiada kaitan kelewatan rundingan kerusi PH -

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal kenyataan segelintir pihak yang mengaitkan rundingan kerusi Pakatan Harapan (PH) mengambil masa terlalu lama untuk dimuktamadkan ekoran partinya sedang memujuk PAS untuk bekerjasama di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Menteri Besar Selangor itu berkata, adalah tidak munasabah mengaitkan PKR sedang mengusahakan kerjasama dengan PAS sedangkan proses perbincangan kerusi bersama PH telah bermula sekian lama.

“Itu pandangan. Saya harap kenyataan yang nak dibuat itu biarlah berdasarkan fakta,”katanya kepada pemberita selepas hadir di Himpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor pagi tadi.

Menurut Azmin, rundingan kerusi PH di Selangor sedang berjalan, malah beliau mengakui prosesnya begitu rumit memandangkan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan demi memastikan calon yang mewakili gabungan berkenaan akan menang di kerusi yang ditandinginya.

“Faktor kebolehmenangan itu lebih penting daripada faktor menetapkan tempoh tertentu. Kalau kita boleh selesaikan 90 peratus daripada pertindihan, itu satu kejayaan yang baik untuk PH.

“Ada satu dua lagi kerusi yang masih berbincang, itu perkara biasa dalam perjuangan politik. Kerana akhirnya kita mahu siapa jugak yang mewakili kawasan tersebut, bagi pihak PH, mesti menang.

“Maka untuk menang, kita ada faktor-faktor bukan saja kerusi tapi faktor penerimaan pengundi di kawasan itu, bagaimana sokongan rakyat di kawasan itu. Apakah isu di kawasan itu.. jadi sudah tentu prosesnya agak rumit tetapi saya melihat perbincangan itu berjalan dengan cukup positif untuk menentukan kemenangan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: