Sabtu, 27 Januari 2018

‘Kami tak faham 1MDB tetapi kos sara hidup sangat menekan’

THE MALAYSIAN INSIGHT
‘Kami tak faham 1MDB tetapi kos sara hidup sangat menekan’
Ketua Amanah Bentong dan bekas pengetua sekolah, Norhaizan Abu Hassan berkata penduduk kampung kini bergelut dalam berbelanja disebabkan kenaikan harga barangan keperluan asas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
TEMPIAS kesan kenaikan harga barangan juga dirasai isi rumah di kampung, kata Ketua Amanah Bentong dan bekas pengetua sekolah, Norhaizan Abu Hassan di konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pahang hari ini.

"Sebagai suri rumah, kami mengawal dan mengurus semua perbelanjaan isi rumah, macam menteri dalam rumah.

"Kami mungkin tak faham pasal skandal 1MDB dan kronologinya yang panjang, tetapi kenaikan harga petrol, GST menyebabkan semuanya mahal," kata Norhaizan, 59, ketika ditemui di Kuantan.

Bekas pengetua di SMK Tembangau, Triang itu berkata, suri rumah di kawasan kampung di Pahang kini bergelut dalam berbelanja disebabkan kenaikan harga beras, minyak masak, gula dan barangan asas lain sejak Barisan Nasional (BN) menarik subsidi pada 2010.

"Dulu, saya boleh dapat beras 3A 10kg dengan harga RM18, sekarang RM28.

"Kalau dulu boleh beli minyak masak 5kg dengan harga RM13.50, sekarang RM23," katanya.

Tambah Norhaizan, dia menerima banyak aduan dari suri rumah di kawasan seperti Chemomoi, iaitu ladang Felda yang letaknya hampir sejam dari bandar Bentong.

"Ramai yang kecewa. Mereka beritahu saya, mereka tak tahu sama ada nak sokong BN lagi atau tidak.

"Ramai suri rumah yang jual nasi lemak dan pisang goreng untuk tambah pendapatan sekarang mengadu dah tak boleh tambah duit.

"Apa yang mereka dapat hanya cukup-cukup untuk sara kos hidup, tak boleh nak menyimpan untuk masa depan anak-anak," katanya.

Harapannya ialah agar PH dapat pulangkan semula subsidi makanan asas untuk meringankan beban kewangan, terutamanya bagi keluarga miskin.

"Tolonglah pastikan barang makanan asas dijual pada harga yang stabil dan berpatutan.

Norhaizan berucap pada sesi pagi yang dikhaskan untuk perwakilan dari pelbagai lapisan masyarakat di Pahang untuk menyampaikan pandangan serta kebimbangan mereka di konvensyen PH negeri itu.

Perwakilan lain termasuk dari masyarakat Orang Asli, pelajar univesiti, NGO alam sekitar dan Felda.

Tiada ulasan: