Selasa, 30 Januari 2018

PAS sedia tawar kerusi pada Khalid

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor menyatakan kesediaan menawarkan kerusi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika bekas Menteri Besar Selangor itu berubah fikiran dengan mahu menyertai parti berkenaan.
 
Pengarah Pilihan Rayanya, Roslan Shahir Mohd Shahir yang dipetik Sinar Harian, berkata fasa memujuk Abdul Khalid berterusan, namun PAS menghormati pendirian ADUN Pelabuhan Klang itu yang memilih untuk kekal sebagai ADUN Bebas.
 
Menurutnya, kehadiran Abdul Khalid adalah satu penghargaan buat PAS seterusnya membuktikan PAS adalah parti yang diyakini oleh beliau untuk meneruskan perjuangan yang terbantut selepas dipecat sebagai menteri besar Selangor.
 
“Hubungan PAS dan Abdul Khalid cukup akrab dan kita dah kenal sejak beliau menyandang jawatan penting di Selangor. Kami hormati prestasi dan kepimpinannya.
 
“Cukup jika beliau menunjukkan sokongan melalui kempen dan program penerangan bersama PAS, itu sudah memadai untuk meyakinkan rakyat kerana latar belakang dan rekodnya yang bersih,” katanya.
 
Roslan Shahir berkata, sikap Abdul Khalid yang terbuka hadir dalam program politik PAS dan Umno juga membuktikan peribadinya yang berpendirian.
 
“PAS yakin beliau hadir pada program Umno dan PAS tanpa agenda tersembunyi, sebaliknya sebagai meneruskan agenda rakyat Selangor yang diperjuangkan termasuk program air dan ekonomi.
 
“Penolakannya mungkin disebabkan komitmen, namun keberadaan bersama PAS dianggap sebagai platform terbaik buatnya meneruskan agenda perjuangan rakyat,” katanya.
 
Abdul Khalid sebelum ini berkali-kali menyatakan enggan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 
 
Beliau bagaimanapun dilihat kerap hadir ke program anjuran PAS, namun menyatakan dirinya hanya menyokong parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
 
Hadi dalam kenyataannya baru-baru ini berkata PAS berhasrat membentuk kerajaan di Selangor, yang kini dipimpin PKR di bawah teraju Datuk Seri Azmin Ali.
 
Pada PRU13 lalu, PAS memperoleh 15 kerusi DUN di Selangor, menjadi antara parti memperoleh kerusi majoriti di samping DAP.
 
Namun bilangan itu berkurangan menjadi 13 selepas dua wakil rakyatnya menyertai Amanah. 


Tiada ulasan: