Selasa, 30 Januari 2018

SPRM tahan dua lelaki mengaku orang tengah polis

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki yang mengaku sebagai orang tengah polis dan meminta wang RM5,100 kononnya bagi menyelesaikan satu kes dadah.
 
Suspek pertama berusia 44 tahun ditahan di sebuah restoran di Bandar Springhill, Port Dickson pada pukul 3 petang, manakala rakannya berumur 46 tahun diberkas di pejabat SPRM Port Dickson kira-kira sejam kemudian.
 
Utusan Online yang memetik sumber melaporkan, kedua-dua suspek yang merupakan peniaga disyaki meminta wang tersebut daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk membantu melepaskan anaknya yang ditahan polis kerana kes penyalahgunaan dadah. 
 
Kedua-dua suspek mendakwa kononnya RM5,000 daripada wang itu akan diberikan kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi menyelesaikan kes itu, manakala baki sebanyak RM100 pula adalah upah mereka.
 
Kedua-dua suspek telah menerima sebanyak RM3,000 daripada jumlah wang itu pada Sabtu lalu manakala RM2,100 diserahkan kepada mereka semalam.
 
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
 
 

Tiada ulasan: