Ahad, 28 Januari 2018

Jangan main-main dengan saya, tegas Zahid

Bernama
Ahmad Zahid Hamidi


BAGAN DATUK – “Jangan main-main dengan saya”, demikian amaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan rasa tidak puas hati beliau terhadap kualiti binaan dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dekat sini.

Beliau berkata spesifikasi dewan itu dilihat tidak setimpal dengan jumlah peruntukan sebanyak RM600,000 yang disumbangkan Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan hina orang Bagan Datuk, jangan hina SMK Hutan Melintang, saya tak puas hati, saya tidak akan pernah puas hati, RM600,000 macam ini ke?

“Walaupun saya duduk di atas tetapi saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk, saya tidak boleh terima, rakyat Bagan Datuk tidak boleh terima.

“Siapa agensi pelaksana, kontraktor jangan main-main, kalau RM600,000 mesti RM600,000 nilainya, jangan ‘claim’ RM600,000 tetapi nilai sebenar seperti RM300,000, ” katanya.

​​​​​​​​​​​​​​Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan dewan berkenaan serta menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada ibu bapa pelajar sekolah itu di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat bagaimana pembinaan dewan berkenaan dilihat tidak setimpal dengan peruntukan yang disediakan.

“Kenapa jadi begini, kalau ada penyelewengan ambil tindakan tidak kira kontraktor, konsultan apa sesiapa sahaja yang terlibat, ” tegasnya.

“Mentang-mentang kita orang kampung, jangan kita direndah-rendahkan, dengan mata kasar pun kita tahu. Saya tak mahu rakyat katakan Anggota Parlimen ambil duit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ambil duit, kita tidak akan berkompromi,” katanya.

Beliau turut memberi tempoh selama tiga bulan untuk kontraktor terlibat melakukan perubahan terhadap struktur dewan terbabit.

“Saya beri tiga bulan supaya lompong di sekitar dewan ini ditutup, saya mahu lantai simen diletak jubin, kipas perlu yang besar, saya mahu dewan ini juga lebih panjang daripada ini, jangan main-main dengan saya.

“Saya akan datang lagi, tidak perlu kompang, tidak perlu permaidani merah dan tidak perlu pelajar berbaris. Saya akan datang secara mengejut tengok dewan ini lebih baik dari sekarang,” katanya.- BERNAMA


Tiada ulasan: