DETIK DAILY
Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid
KELANTAN ialah negeri kedua terbesar peratus pengundi Melayu iaitu
sebanyak 94.5 peratus, selepas Terengganu, 95.92 peratus. Kuasa politik
di Kelantan sepenuhnya terletak di tangan pengundi Melayu.
PAS
ialah kuasa politik paling dominan di Kelantan sejak Pilihan Raya Umum
(PRU) 1990 sehingga sekarang. Tidak dapat dinafikan PAS mempunyai
pengaruh kuat di Kelantan, khususnya ketika pentadbiran Kelantan di
bawah pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar (1990
hingga 6 Mei 2013).
Beberapa perkembangan berlaku selepas
pemergiannya. PAS keluar Pakatan Rakyat. PAS bergolak dan Parti Amanah
Negara (PAN) dibentuk. Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad
dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai Pakatan Harapan.
Fokus
utama dalam perbincangan ini ialah politik Melayu Kelantan. Parti
politik manakah yang akan menguasai politik Kelantan selepas PRU-14
nanti? Adakah PAS akan terus berkuasa atau parti politik baharu akan
mengambil alih kuasa politik Kelantan? Kalau parti politik baharu, parti
politik yang mana satu; UMNO atau Pakatan Harapan?
Bagaimanakah
dengan nasib PAS jika parti politik baharu itu berkuasa? Adakah akan
berlaku pertandingan satu lawan satu atau berlaku pertandingan tiga
penjuru dalam PRU-14 di Kelantan nanti? Sejauh manakah kerjasama politik
PAS dan UMNO akan berlaku? Soalan ini wajar difikirkan bersama-sama
oleh semua yang terbabit dalam politik, khususnya politik Kelantan.
Dalam
kedudukan sekarang, PAS terkuat dalam DUN Kelantan dengan 31 anggota,
diikuti BN/UMNO seramai 12 anggota, manakala PAN dan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) masing-masing satu anggota. Berjayakah PAS mengekalkan
kerusi majoriti melalui PRU-14 nanti?
PAS dapat 31 kerusi DUN
Dari
segi bilangan kerusi DUN melalui PRU-13 lalu, PAS mendapat 31 kerusi
DUN (seorang anggota DUN keluar, iaitu anggota DUN Salor dan menjadi
anggota PAN). Jumlah 31 ini besar berbanding 45 kerusi keseluruhan.
Jika
diteliti, ada tujuh kerusi DUN dimenangi PAS dengan majoriti kecil
iaitu Jelawat (102 undi majoriti), Gaal (302 undi), Gual Periok (615
undi), Bukit Tuku (879 undi), Pulai Chondong ( 919 undi), Tendong dan
Wakaf Baru (masing-masing 978 undi majoriti).
Kemenangan
calon PAS dengan majoriti kecil ini tidak benar-benar selamat.
Kemungkinan sukar bagi PAS mengekalkan kerusi yang menang dengan
majoriti kecil. Dengan struktur parti politik baru berubah akan
memungkinkan berlaku pertandingan tiga penjuru yang meluas di Kelantan.
Penulis
berpendapat, pertandingan tiga penjuru atau lebih tidak akan memberi
kesan positif bagi pihak PAS. Peluang akan lebih terbuka kepada pihak
UMNO untuk menang kerana penyokong PAS berpecah kepada dua, iaitu PAS
dan PAN (Pakatan Harapan). Walaupun begitu, ini sukar untuk dipastikan
dengan benar-benar tepat kerana sokongan sebenar terhadap parti serpihan
PAS, iaitu PAN belum lagi teruji dalam politik dan pilihan raya
Kelantan.
Kedudukan UMNO juga tidak boleh dilihat sebagai
kedudukan yang lemah dalam politik Kelantan. UMNO pernah berkuasa dalam
politik Kelantan dari 1978 hingga 1990.
Kedua-dua UMNO
serta PAS ialah parti Melayu dan Islam dalam banyak hal mempunyai
persamaan, malah kedua-duanya boleh diterima oleh masyarakat Melayu
Kelantan.
UMNO Kelantan kukuh
Berasaskan
PRU-13, kedudukan UMNO di Kelantan tidak lemah, cuma belum cukup kuat
bagi menguasai pimpinan politik negeri. Walaupun menang dengan 12 kerusi
DUN, jumlah undi popular yang diperoleh UMNO agak besar.
Di
sesetengah kawasan DUN dan kawasan Parlimen, majoriti diperoleh PAS
adalah kecil. Misalnya, calon BN di DUN Jelawat, Datuk Dr Ilias Husin
mendapat undi popular 11,620 undi berbanding calon PAS yang mendapat
11,722 undi; hanya perbezaan 102 undi. Begitu juga dengan calon BN di
Gaal, Redzuan Stapa kalah di tangan PAS hanya dengan perbezaan 302 undi.
Ini menggambarkan sokongan rakyat Kelantan terhadap UMNO kuat.
Pada
peringkat Parlimen juga sokongan pengundi Kelantan terhadap UMNO agak
kuat. Kawasan Parlimen Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang, calon UMNO
menang dengan majoriti besar. Di kawasan Parlimen Jeli dan Gua Musang,
semua kerusi DUN dimenangi calon UMNO.
Sesetengah kawasan
Parlimen yang kalah juga dilihat mendapat undi popular yang besar.
Misalnya, kawasan Parlimen Bachok, calon UMNO, iaitu Datuk Awang Adek
Hussin mendapat undi popular 35,218 undi (PAS mendapat 35,419 undi).
Majoriti 201 undi dianggap kecil bagi sebuah kawasan Parlimen yang
mempunyai jumlah 81,566 pengundi.
Parlimen Pasir Puteh juga
dilihat mempunyai sokongan besar terhadap calon UMNO. Ura-ura Datuk Dr
Asraf Wajdi Dusuki akan bertanding di Parlimem Pasir Puteh pada PRU-14
nanti dilihat oleh ramai pemerhati sebagai keputusan yang tepat.
Sekiranya
sokongan padu ahli UMNO terhadap Asraf Wajdi, kemenangan akan berpihak
kepadanya. Tokoh muda berpotensi dan mempunyai asas agama dan akademik
yang kuat akan memberi sumbangan besar kepada Kelantan dan Malaysia
amnya.
Pengundi Pasir Puteh dan Kelantan amnya sepatutnya
memberi sokongan serta peluang kepada tokoh muda yang berpotensi seperti
Asraf Wajdi. Dari segi asas kelayakan dan kebolehan tokoh ini tidak
perlu dipertikaikan. Tetapi harus juga diingat bahawa orang UMNO juga
akan memihak kepada pihak lawan sekiranya calon itu tidak disukai. Ini
boleh berlaku kerana risiko politik yang rendah dengan tidak mengundi
UMNO.
Apakah senario dan persepsi politik orang Melayu
Kelantan selepas PRU-14 akan berubah? Kalaulah tradisi asal orang Melayu
Kelantan tidak berubah, iaitu melihat parti politik orang Melayu hanya
UMNO dan PAS, Pakatan Harapan (PAN dan PPBM) akan menghadapi jalan sukar
untuk menang besar di Kelantan.
Sentimen antiMahathir
belum pulih sepenuhnya di Kelantan. Kedudukan PAN yang mempunyai
hubungan rapat dengan DAP menimbulkan rasa serba salah pengundi Kelantan
terhadap PAN.
Kalaulah ini masih benar dan tidak berubah dalam
pentafsiran politik Melayu Kelantan, pertandingan sebenar PRU-14 di
Kelantan hanya di antara UMNO dan PAS.
Biar apa pun bentuk
pertandingan calon yang akan menang, sama ada UMNO/BN atau PAS.
Sekiranya berlaku kerja sama politik antara PAS dan UMNO di Kelantan
pada PRU-14 ini, kedudukan Pakatan Harapan di Kelantan menghadapi
masalah lebih besar.
*Penulis bertugas di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan