Ahad, 28 Januari 2018

10 jalan di KL ditutup mulai Selasa sempena Thaipusam



Bernama
 

KUALA LUMPUR – Sepuluh jalan utama di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai 12.30 tengah malam, Selasa ini bagi memberi laluan perarakan ‘Pedati Perak’ sempena sambutan Thaipusam pada 31 Jan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata laluan terlibat ialah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut dan Jalan Sri Amar.

“Perarakan pergi pada Selasa akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee dan melalui 10 jalan utama tersebut, kemudian ke Jalan Tun Razak (pusingan-U depan Bomba), Jalan Ipoh (Jalan Salleh), Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata perarakan pulang pula bermula 4 petang Khamis (1 Feb) dan dijangka berakhir pagi keesokannya (2 Feb). Kumpulan perarakan akan bergerak dari Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, seterusnya melalui Jalan Ipoh Batu 5, Jalan Perhentian, Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh.

Beliau berkata laluan yang ditutup turut melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee.-BERNAMA


Tiada ulasan: