Selasa, 30 Januari 2018

Najib ungkit pemberian, buruk siku dengan Kelantan

DETIK DAILY

Oleh DR AZMAN IBRAHIM


"NEGERI defisit macam Kelantan ini pun, kalau tidak ada suntikan daripada Kerajaan Pusat nak bayar gaji pun tak mampu, tak boleh nak bayar gaji," begitulah bunyi ucapan Perdana Menteri di hadapan penjawat awam di Wisma Persekutuan Kota Bharu ketika Dato' Seri Najib melakukan lawatan ke Kelantan kelmarin.

Ucapan seorang pemimpin negara bernada penghinaan kepada kerajaan dan rakyat Kelantan. Mungkin PM terlupa, Malaysia negara yang beliau duduk di kerusi PM termasuklah di dalamnya sebuah negeri negeri bernama Kelantan.

Betapa banyak yang Kerajaan Pusat kaut hasil dari bumi Kelantan termasuk khazanah gas asli. Saya tahu sebab saya pernah pergi kuliah di Pelantar Muda, sebuah pelantar carigali gas yang terletak dalam perairan Kelantan dengan jarak 170km dari pantai Kelantan. Royalti kepada Kelantan, Kerajaan Pusat tak bayar walau sesen pun!

Dengan 47 kali sehari kapal terbang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Kota Bharu, saya yakin cukai lapangan terbang yang dikutip adalah yang tertinggi berbanding semua lapangan terbang domestik seluruh negara. Di Kelantan kereta penuh jalan raya. Setakat ini Kerajaan Kelantan tak ada kuasa kutip cukai jalan dan bayaran lesen. Yang kutip rasanya Kerajaan Pusat.

Orang Kelantan suka berniaga. Saya tak ada data berapa banyak GST yang dikutip dari Kelantan. Tapi saya pasti jumlahnya melebihi GST yang dikutip dari Terengganu. Belum lagi dikira cukai pendapatan yang dibayar oleh rakyat Kelantan sama ada yang bekerja di Kelantan atau yang berada di luar Kelantan. Ramai pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah orang Kelantan.

Lihatlah di Kelantan tersergam AEON, TESCO, Mydin, KB Mall, The Store, Pantai Timur serta deretan hotel berbintang. Semuanya bayar cukai kepada kerajaan pusat. Hasil gas, cukai lapangan terbang, cukai pendapatan, cukai jalan, bayaran lesen serta banyak lagi Kerajaan Pusat kaut dari Kelantan. Buruk siku Najib mari ungkit balik bila Kerajaan Pusat ada bagi dana kepada negeri.

Rakyat Kelantan rasa terhina dengan ucapan Najib sambil ketawa kecil ini. Najib silap dalam memahami jati diri orang Kelantan. Rakyat Kelantan sangat anti dengan pemimpin yang angkuh dan bercakap besar. Umno Kelantan akan terima tempias dalam PRU 14 hasil dari ucapan Najib ini. Tunggulah...



Tiada ulasan: