Sabtu, 27 Januari 2018

Dua pegawai polis direman

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Dua pegawai polis berpangkat Inspektor dan Asisten Superintendan ditahan reman selama empat hari selepas dihadapkan ke Mahkamah Khas Reman Seremban, di sini, sebentar tadi, kerana disyaki terlibat dengan rasuah.
 
Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Seremban, Nur Haryatie Mohd Saini membenarkan penahanan kedua-duanya mulai hari ini hingga Selasa depan.
 
Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Riduan Kadri.
 
Kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 33 dan 38 tahun, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor.
 
Suspek yang berpangkat Inspektor disyaki meminta suapan sebanyak RM3,500 daripada seorang individu melalui panggilan telefon pada Khamis lalu, sekitar jam 3.30 petang.
 
Tujuannya sebagai balasan agar pekerja kepada individu terbabit tidak dituduh di mahkamah atas kesalahan memiliki telefon bimbit curi jenis Vivo.
 
Suspek juga dipercayai berkongsi sebanyak RM2,000 daripada hasil suapan diterima, bersama penyelianya yang berpangkat Asisten Superintendan.
 
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.
 
Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seskyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
 
 

Tiada ulasan: