Isnin, 29 Januari 2018

PKR letak calon wanita di Parlimen Kuantan dan Rompin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: PKR meletakkan dua calon wanita di dua daripada empat kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
Pengerusinya Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata dua kerusi Parlimen itu ialah Kuantan yang akan terus dipertahankan oleh Fuziah Salleh dan seorang muka baru bagi kerusi Parlimen Rompin.
 
"Calon wanita di Rompin adalah golongan profesional dan anak peneroka. Pemilihannya atas pertimbangan kawasan itu yang mempunyai ramai peneroka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Wanita Pakatan Harapan Pahang di sini hari ini.
 
Fauzi berkata dua lagi kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PKR ialah Bera dan Indera Mahkota (IM), yang mana beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding sama ada mempertahankan kerusi IM atau berpindah ke kawasan baru.
 
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pahang berkata kerusi Parlimen Temerloh diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah), atas permintaan parti berkenaan.
 
"Buat masa ini, strategi Pakatan Harapan ialah meletakkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan Parlimen yang menjadi kubu kuat Umno kerana mereka sudah tahu selok belok permainan politik lawan," katanya.
 
Ditanya mengenai pembahagian kerusi DUN Pahang, Fauzi berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana menunggu keputusan daripada pimpinan pusat, walaupun nama calon berkelayakan sudah diserahkan.
 
Katanya senarai calon yang dikemukakan terdiri daripada anggota DUN sedia ada yang berkemungkinan bertanding di kerusi baru dan calon baru yang merupakan anak muda.
 
"Kita mahu mengajar politik baru di mana pemilihan bukan berdasarkan faktor usia, tapi atas merit dan kemampuan seseorang calon menjalankan tanggungjawab.
 
"Jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya, kita tahu kita sudah menyediakan calon yang berkebolehan untuk penilaian masyarakat," katanya.
 
 

Tiada ulasan: