Isnin, 15 Januari 2018

Ustaz terpedaya ditawarkan harta karun 7 unta

Radzuan Hassan


Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.


KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan atau scam nampaknya semakin menjadi-jadi dan kadangkala modus operandi dan mangsanya tidak masuk akal.

Malah baru-baru ini ada seorang ustaz yang terpedaya sehingga kehilangan wang kira-kira RM500,000 kerana terpedaya dengan penipuan didalangi Pak Arab.

Akibat terpedaya, ustaz berkenaan memujuk orang ramai dan kenalannya ‘melabur’ dan akhirnya wang mereka lesap.

“Ustaz itu kata, dia terpedaya apabila pak sheikh (orang Arab) itu menunjukkannya bayangan seorang puteri cantik dan dia diberitahu akan mendapat harta karun yang dibawa oleh tujuh ekor unta.

“Cerita macam tak logik namun itulah yang berlaku sehingga ustaz yang berada di Ampang ini terpedaya,” kata Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen Warna Pagi di IKIM FM hari ini.

Menurut Nadzim, dalang scammer melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan wang orang malah ada ahli PPIM sendiri hampir menjadi mangsa.

“Ada ahli kita (PPIM) yang baru lima enam bulan bertugas juga hampir percaya apabila dia menerima panggilan telefon orang yang menyamar menjadi polis dan mahu wang daripadanya.

“Menurutnya, semasa bercakap di telefon, dia dengar suasana seperti balai polis dan hampir percaya,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Tokki.

Malah beliau sendiri pernah menerima panggilan daripada scammer yang mendakwa anak kepada bekas Presiden Uganda yang meminta bantuannya dan ditawarkan emas bernilai jutaan ringgit.

“Dia mungkin tidak kenal saya, jadi saya minta bertemu dengannya dan dalam pertemuan itu saya membawa polis sekali. Jadi polis cekup dia semasa pertemuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nadzim juga menasihati orang ramai jangan mudah memberi kad ATM dan nombor pin ketika berurusan dengan ah long kerana dalam banyak kes sindiket itu menggunakan sebagai bank menerima wang bagi pihak scammer.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: