DETIK DAILY
Oleh Hasmi Hashim
SELEPAS “Ops Omega” pada 2001, saya serius memikirkan tentang
ciri-ciri khusus pentadbiran Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir Mohamad.
Di bawah Ops Omega itu, ramai aktivis Reformasi dan pemimpin PKR yang
ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Saya yakin, saya adalah orang pertama yang menimbulkan istilah “Mahathirisme” dalam tahun-tahun berkenaan.
Saya tak berminat dengan cara panggilan-panggilan rendah adab seperti
“mahafiraun” dan “mahazalim” yang dikenakan kepada Dr Mahathir. Semua
panggilan dan ejekan sebegitu tidak membawa pencerahan apa-apa untuk
memahami ciri-ciri khusus politik sepanjang pemerintahan Dr Mahathir.
Di Singapura, ada kajian pemikiran Lee Kuan Yew yang disebut sebagai
“Thesis Lee”. Kajian dan istilah itu dikeluarkan oleh pemikir
politik-ekonomi yang mashyur yang berasal dari India, Amartya Sen.
Beliau cuba melihat hubungan pertumbuhan ekonomi Singapura yang pesat
sejak keluar dari Malaysia pada 1965 dengan tahap demokrasi dan
kebebasan. Ketika Barat percaya betapa pertumbuhan mampan hanya dapat
berlangsung di bawah lembayung demokrasi, unsur berkenaan hampir tak
wujud sama sekali di Singapura.
Hari ini orang menggunakan istilah “Mahathirisme” seenaknya sahaja.
Bahkan istilah itu lebih banyak dirujuk kepada hal-hal yang buruk
sahaja.
Sementara Mahathirisme yang saya maksudkan lebih sedekad lalu tidak
sekadar hanya menyebutkan hal-hal buruk kesan dasar pentadbiran tindakan
politik Dr Mahathir. Turut dibincangkan ialah persoalan liberalisme,
perihal tradisi lawan modenisasi dan globalisasi, identiti kebangsaan,
hak asasi, konsep negara-bangsa, bahkan hubungan agama dan kekuasaan
negara.
Lebih tidak adil, “Mahathirisme” hanya ditempekkan kepada Umno sahaja. Sedangkan, tidak!
Mahathirisme juga boleh wujud di dalam parti mana sekali pun,
termasuklah parti-parti pembangkang. Sekiranya Mahathirisme itu
bermaksud bersikap kuku besi, sikap itu juga boleh wujud dalam parti
bukan Umno.
Misalannya Mahathirisme juga bermaksud keinginan memerintah dengan
lama, lalu bukankah nafsu tanpa segan-silu itu juga wujud antara para
pemimpin pembangkang?
Bahkan selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai PM pada 2003,
Umno tidak lagi mempunyai seorang presiden yang terlalu lama di tampuk
kuasa.
Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM hanya enam tahun. Najib Razak pula
kini di tahun kesembilan dan beliau ada kira-kira lagi setahun untuk
melengkapkan tempoh pentadbirannya menjadi genap 10 tahun, atau
bersamaan dua penggal.
Sementara itu, di pihak pembangkang pula ada yang sudah memegang
jawatan – seperti menjadi ketua menteri – genap dua penggal, tetapi
masih belum ada tanda untuk melepaskan jawatan.
Lebih pelik bin ajaib, menjadi budaya baharu dalam politik
pembangkang di mana seorang itu diizinkan bertanding dan memegang sampai
dua jawatan sekaligus. Satu di peringkat DUN, dan pada masa sama juga
di peringkat Parlimen.
Seburuk-buruk era Dr Mahathir, amalan sebegitu tidak wujud. Amalan
itu sebenarnya dengan lebih mudah dan cepat akan menjadikan seseorang
pemimpin bertukar menjadi kuku besi, tertutup dan diktator.
Justeru itu, apa jaminan tidak wujudnya Mahathirisme di kalangan
pemimpin parti pembangkang kalau sudah wujud tanda dan asas lebih buruk
pula? Mengaku diri sebagai demokrat memang mudah, tetapi antara yang di
mulut dengan yang dilakukan tidak semestinya sama.
Maka tidak hairanlah apabila sudah kedengaran betapa kerasnya
pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan apabila berhadapan dengan
kritikan. Seakan-akan sudah menjadi amalan biasa, sebagai contoh
menyekat peruntukan wakil rakyat tertentu kalau wakil rakyat berkenaan
pengkritik pemimpin atasan mereka. Walaupun satu gabungan.
Kalau semua itu adalah amalan politik usang, anti reformasi dan
bersifat Mahathirisme dalam maksud yang hitam, mengapa perlu wujud pula
dalam pentadbiran baharu yang kononnya mahu melakukan perubahan,
menghormati pandangan berbeza dan bersifat demokratik itu?
Betapa dukacitanya kita kalau selepas dua dekad, inilah yang rakyat dapat.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan