Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya menyiasat Datuk Seri Mohd Najib Razak setelah beliau mengakui mengenai kelemahan yang ada dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terlalu banyak kes jenayah yang sedang berleluasa dalam negara sepatutnya diberi perhatian serius oleh polis daripada berterusan menyiasat pimpinan pembangkang.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran (gambar atas ditengah) ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Gunung Bongsu di Kulim, Kedah semalam.
Menurut beliau lagi, siasatan yang dilakukan terhadap Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Jumaat lalu, ekoran ceramahnya dalam ‘Himpunan Wanita Bantah Politik Toksid’ pada September lalu tidak mendatangkan manfaat
“Rakyat sedang melihat pelbagai sandiwara yang sedang dimainkan oleh kerajaan.
“Sepatutnya yang disiasat ialah pimpinan Umno dan BN yang sedang bergelumang dengan pelbagai skandal dan salah urus dana negara.
“Setelah Najib mengakui kelemahan dalam 1MDB, apakah ada pengurusan 1MDB yang akan diheret ke mahkamah, ” tanya beliau lagi.
Malah katanya tindakan terdesak kerajaan ketika ini dengan memberi tekanan demi tekanan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengurangkan sebarang sokongan dari rakyat.
Sebaliknya ia menaikkan lagi semangat para pejuang reformis yang amat dahagakan perubahan untuk menukar kerajaan kleptokrasi yang sedang menunjangi kepimpinan negara.
“Sebenarnya kerajaan menyedari sokongan kepada mereka semakin menipis.
“Sebaliknya dokongan yang diterima oleh PH semakin mencambah dan memberi saingan kepada parti pemerintah.
“Samada mahu atau tidak, mereka terpaksa menggunakan pelbagai cara termasuk ugut dan gertak bagi menimbulkan ketakutan kepada pimpinan PH, ” jelasnya.
Walau bagaimana pun ujarnya, PH tetap tidak akan berganjak dengan satu tekad untuk membawa perubahan dalam negara menjelang pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.
“Yang pasti ialah PH harus memenangi pilihan raya umum kali ini sekiranya tidak mahu lagi negara berada dalam situasi yang merudum segalanya.
“Nasib rakyat mesti diberi pembelaan dengan segera akibat bebanan kos sara hidup yang begitu tinggi serta menyukarkan kehidupan mereka.
“Pelbagai polisi yang menekan rakyat mesti diubah serta kepincangan, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tidak harus dibiarkan berleluasa dan bermaharajalela tanpa batasan, ” tambahnya lagi.
Sehubungan itu katanya, mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 nanti amat berharga dan perlu diterjemahkan melalui kertas undi dengan memberi sokongan kepada PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan