THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 berhubung rekaan grafiknya.
“Wah cantik benar logo untuk Visit Malaysia 2020.
“Tapi gambar dalam itu nampak macam kera kah, manusia kah?
“Ini kah yang akan menarik orang melancong ke Malaysia? Saya fikir mereka akan berasa pelik.
“Mungkin kerana pelik itu dia akan menarik (pelancong)…itu saya tak tahu, tapi saya fikir banyak lagi design yang lebih cantik, yang lebih menarik,” kata Dr Mahathir dalam satu video pendek yang dikongsikan dalam laman Facebooknya.
Dr Mahathir, yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan, merupakan pengasas Wawasan 2020.
Logo tahun Melawat Malaysia 2020 itu mendapat kritikan yang teruk dari media sosial berhubung rekaan grafiknya.
Logo yang dilancarkan pada perhimpunan negara-negara ASEAN di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini turut mendapat perhatian komuniti pereka grafik di Facebook Grafik Malaya.
Rata-rata mereka mengkritik dan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti serta konsep persembahan logo tersebut yang disifatkan tidak menepati taraf selayaknya.
Walaubagaimanapun, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini dilaporkan berkata logo tersebut akan terus digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan