Ahad, 28 Januari 2018

Bekas Penyampai Berita RTM Salasiah Zakaria meninggal dunia

SELANGOR KINI




KUALA LUMPUR: Bekas editor dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datin Salasiah Zakaria, meninggal dunia akibat kanser pada usia 68 tahun, pagi tadi.

BH ONLINE melaporkan Allahyarham yang berkhidmat di RTM selama 33 tahun, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Hospital Ampang, kira-kira jam 11 pagi.

Anak sulung Allahyarham, Khasnooriman Khamis, 38, memberitahu pemergian ibu mengejutkan anggota keluarga.

“Ibu menghidap kanser di kepala sejak tiga tahun lalu. Selepas menjalani sesi kemoterapi, kansernya tiada.

“Namun, kami dimaklumkan sel kanser baharu menyerang bahagian hidung menyebabkan ibu sukar bernafas,” katanya kepada BH Online.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Datuk Khamis Idris, 69, serta dua anak iaitu Khasnooriman dan Ahmad Mohar, 35.

Khasnooriman berkata, doktor memberi ibunya bantuan oksigen namun nadinya makin lemah manakala tekanan pernafasan menurun.

“Doktor cuba beri bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun ibu tak dapat diselamatkan,” katanya.

Khasnooriman berkata, pada peringkat permulaan, sel kanser menyerang bahagian kepala dan saraf tunjang ibunya sebelum hidung.

“Ia kemudian menular ke jantung menyebabkan ibu sangat lemah dengan antibodi yang tidak kuat,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Surau As-Syakirin, Ampang untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, selepas solat Asar.

Tiada ulasan: