Sabtu, 27 Januari 2018

ADUN PKR Selangor enggan panjangkan isu calon PM pembangkang

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pimpinan PKR Selangor menjarakkan diri daripada mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bahawa 'silap PKR Selangor' tidak menamakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) jika menang pilihan raya kelak.
 
Khalid dilaporkan berkata demikian mengulas isu PKR Selangor yang tidak berpuas hati apabila Azmin tidak dicalonkan ke jawatan itu, sebaliknya Majlis Presiden PH menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi menganggap isu berkenaan sudah selesai dan fokus utama kini adalah memastikan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
"Benda ini sudah selesai, tak payah panjang-panjang. Sekarang PH kena 'move-on'. Tiada apa lagi kita nak ulas, kita 'move-on' untuk pastikan PH menang.
 
"Soal tentang calon perdana menteri atau apa sahaja, itu kemudian," ujarnya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
 
Seorang lagi ADUN Selangor (Batu Caves), Amirudin Shari berkata soal calon perdana menteri sudah terlalu kerap disebut pimpinan PH dan ditonton rakyat jelata.
 
Justeru beliau beranggapan, sudah tiba masanya isu itu dibincangkan secara dalaman oleh pucuk pimpinan tertinggi gagasan empat parti komponen itu.
 
"Saya rasa perkara ini sudah banyak sangat dikeluarkan kepada umum, jadi biarlah ia diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.
 
"Benda ini sudah dibangkitkan banyak kali dalam pucuk pimpinan, jadi biar mereka sahaja yang selesaikannya," katanya.
 
PH konvensyen kali keduanya di IDCC, Shah Alam pada 7 Januari lalu mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon sementara perdana menteri pembangkang sambil menunggu Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada penjara.
 
Pengumuman itu menyaksikan beberapa pemimpin PKR Selangor menolak keputusan itu diantaranya Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida Kamaruddin.
 
Zuraida secara terbuka menyatakan bantahan terhadap amalan kitar semula oleh pemimpin PH, malah turut mencadangkan mantan perdana menteri itu dilantik sebagai menteri kanan sahaja.
 
Turut mahu Azmin dicalonkan untuk jawatan itu adalah Daroyah sendiri.
 
Ketua Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad pula mahukan jawatan tersebut disandang oleh pemimpin segar dalam PH dan bukannya Dr Mahathir yang sudah menjangkau usia lebih 90 tahun.

Tiada ulasan: