Isnin, 29 Januari 2018

Keputusan mahkamah bukti kemenangan buat Islam dan rakyat Malaysia, kata Nazri

Keputusan mahkamah bukti kemenangan buat Islam dan rakyat Malaysia, kata Nazri
Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan itu membuktikan yang Kabinet selama ini betul apabila mengatakan yang anak kepada ibu bapa berlainan agama patut kekal dalam agama asal ibu bapa mereka ketika berkahwin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi sebagai berkata ianya kemenangan buat rakyat Malaysia.

Bekas Menteri Hal-Ehwal Undang-undang itu berkata, keputusan itu membuktikan yang kabinet selama ini betul apabila mengumumkan yang anak kepada ibu bapa berlainan agama patut kekal dalam agama ibu bapanya.

“Saya kerap menegaskan yang ‘parent’ itu bermaksud ibu dan bapa. Sangat salah dan bodoh untuk mentafsirkan parent sebagai salah satu sahaja. Bila saya menjawat menteri undang-undang, saya selalu tegaskan yang bapa tidak ada hak untuk buat apa yang dia buat itu.

“Islam itu keadilan. Bila tidak adil, maka ianya bukan Islam. Jadi, ianya adalah keputusan yang bagus dan mulai hari ini tak patut ada lagi ragu-ragu dalam kes seperti ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak Indira itu sebagai batal dan tidak sah.

Panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan pagi ini turut memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Hakim Zainun Ali yang membacakan ringkasan keputusan itu berkata bahawa penukaran agama kanak-kanak itu perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.

Nazri turut meluahkan rasa gembiranya terhadap Indira yang terpaksa melalui proses perundangan selama seimbilan tahun.

“Ia satu kemenangan buat Islam dan semua rakyat Malaysia. Kita telah buktikan, dan paling penting Kabinet selama ini betul dalam membuat keputusan itu.

“Tetapi sangat membuang masa sampai terpaksa tunggu hampir 10 tahun untuk dapatkan keputusan ini. Saya bersimpati dengan Indira Gandhi, dengan apa yang beliau lalui, tetapi saya juga sangat gembira dengannya.”

Sementara itu, jurucakap publisiti MCA Ti Lian Ker berkata, Mahkamah Persekutuan perlu menetapkan secara retroaktif semua kes yang dipertikaikan.

“Semua sijil penukaran agama untuk semua anak-anak kecil yang kepercayaan mereka diubah oleh salah seorang dari ibu bapa mereka, perlu ditangani atau ‘dibatalkan dan tidak sah’ seperti yang diarahkan oleh panel hakim.”

Mahkamah tertinggi negara hari ini membatalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 30 Disember, 2015, untuk mengembalikan sijil penukaran tiga anak Indira yang telah dibatalkan hari ini.

Anak-anak itu, dua wanita dan seorang lelaki kini berusia 20, 19 dan 9 telah ditukar agama kepada Islam oleh ayah mereka, Muhammad Riduan Abdullah, 47, pada April 2009 tanpa pengetahuan ibu mereka.

Ketika ditukarkan agama, umur mereka adalah 12, 11 tahun dan 11 bulan.

Tiada ulasan: