Sabtu, 27 Januari 2018

Cabaran kini pada PKR untuk pilih siapa gandingannya selepas ini - penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Cabaran kini kepada PKR selepas PAS memutuskan untuk tidak bersama dengan gagasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Penganalisis Politik, Prof. Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
 
PKR katanya sedang 'buntu' untuk memilih serta menilai pihak yang sesuai untuk mereka berganding sepertimana peranan yang dimainkan PAS selama dua penggal menerusi kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR).
 
Azizuddin juga berkata, tampak begitu jelas sekali PKR Selangor masih mengharapkan PAS bersetuju untuk terus menjalinkan kerjasama politik seterusnya menyertai gagasan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Untuk pembahagian kerusi itu memanglah PKR nak PAS kalau boleh masih bersama dalam Pakatan di Selangor. Yang pasti kerajaan itu masih lagi kerajaan Pakatan. Tetapi sekarang ini rasa akan susah sebab PAS memang takkan bersama Pakatan. 
 
"Jadi itu yang mereka perlu tengok balik siapa sesuai dan tidak. Bagaimana nak bahagikan dengan Amanah dan sebagainya," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Azizuddin berkata, dalam tempoh rundingan agih kerusi berlangsung, 'percakaran' antara empat parti komponen PH adalah perkara biasa.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perselisihan pandangan antara pimpinan PH berhubung isu agih kerusi.
 
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri PH Selangor Dr Xavier Jayakumar semalam dilaporkan berkata rundingan kerusi di negeri itu mungkin terpaksa dilanjutkan.
 
Bingkas memberi reaksi Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang mendakwa pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai apa-apa rundingan. 
 
Kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamaruddin bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya PH sudah dilangsungkan sebanyak empat kali.
 
Namun Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani pula mendakwa PH Selangor masih belum mengadakan sebarang perbincangan bersabit isu agih kerusi.
 
Mengulas lanjut, Azizuddin berkata polemik agih kerusi di Selangor hanya berpusing di sekitar PKR, Amanah dan PAS tetapi tidak DAP.
 
"DAP tidak ada isu sangat sebab dia (partinya) sudah ada kerusi yang dia akan bertanding. Kerusi bandar dimana majoriti bukan Melayu lebih besar (banyak). Jadi tidak ada isu antara DAP dengan PKR. Cuma isunya PKR, Amanah dan PAS kedudukannya macam mana.
 
"Selepas ini saya rasa kerusi yang PKR bertanding akan ditandingi oleh Amanah atau Bersatu (PPBM). PPBM pun nak kerusi. Jadi mungkin mereka tidak setuju, tiada kata putus lagi dari segi pembahagian dalam konteks kerusi-kerusi DUN," tambahnya.
 
 

Tiada ulasan: