Isnin, 29 Januari 2018

Malaysia kontang intelek, tiada kepelbagaian Islam, kata akademik

 
Tidak seperti tradisi Islam yang pelbagai di Indonesia, Malaysia mewarisi budaya feudal, kata pakar sosiologi.


Syed-Farid-Alatas-islam

KUALA LUMPUR: Terdapat ketiadaan kepelbagaian Islam di Malaysia dan ini menyumbang kepada ketandusan dalam budaya intelek tempatan.

Bercakap pada sebuah forum semalam mengenai masalah kontemporari dihadapi umat Islam, Prof Syed Farid Alatas dari Universiti Kebangsaan Singapura berkata, dari segi intelektual, Malaysia dianggap tandus berbanding Indonesia.

“Di Indonesia, terdapat spektrum kepelbagaian. Terdapat golongan Syiah, Sunnah dan Salafi. Kita tiada kepelbagaian itu di Malaysia,” kata Farid.

Kesannya, sarjana Malaysia tidak dapat menyumbang sebarang karya penting kepada ilmu agama.

“Itulah sebabnya tiada karya penting dalam teologi dari Malaysia, sama ada mengenai Islam, Budhha atau Hindu,” katanya pada forum anjuran Islamic Renaissance Front (IRF).

Tambah Farid, ketandusan intelek di Malaysia membawa kepada versi Islam autoritarian yang menurutnya adalah hasil daripada peninggalan penjajah British.

“Apabila British mengkaji budaya Melayu, mereka memilih dan hanya mengambil fakta dan amalan feudalistik,” katanya sambil menambah, budaya Melayu juga mempunyai tradisi yang bukan feudal.

Katanya, golongan elit Melayu memilih untuk mengekalkan tradisi feudal untuk menjaga kepentingan mereka.

“Ia dibatinkan oleh golongan elit Melayu kerana mereka mahu orang Melayu sentiasa menyokong mereka selama-lamanya.

“Autoritarinisme ini juga meresap masuk ke dalam pemahaman Islam kita.”

Pihak berkuasa Islam di Malaysia kerap bersuara menentang ajaran Islam di luar ajaran mazhab Syafi’i, iaitu salah satu daripada 4 mazhab aliran Sunnah.

Tiada ulasan: