Ahad, 28 Januari 2018

Siti Hasmah digugur Penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda

ANTARAPOS

Post Pic
SHAH ALAM: Dr Siti Hasmah Mohd Ali digugurkan sebagai penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia, yang dipegangnya selama lebih 20 tahun. 
Jawatankuasa persatuan terbabit meluluskan resolusi berkenaan pada mesyuarat agung tahunannya yang diadakan baru-baru ini untuk menggugurkan isteri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung.
"Ibu beritahu kami ketika berbual selepas pertemuan dengan polis. Dia menerima surat daripada Persatuan Tenis Kerusi Roda yang memintanya untuk berundur sebagai penaung sebagai salah satu resolusi mereka. Dia kata ok," kata anak kepada Dr Siti Hasmah, Marina Mahathir.
Katanya, dia tidak tahu mengapa dan bila persatuan itu meminta ibunya menarik diri sebagai penaung. 
"Mesti baru-baru ini, mereka luluskan resolusi pada mesyuarat agung tahunan mereka," kata Marina dipetik portal TMI. 
Dr Siti Hasmah sebelum ini disoal siasat oleh polis pada Jumaat kerana berucap pada perhimpunan wanita yang diadakan tahun lalu. 
Beliau memberi ucapan ringkas ketika berdiri di belakang sebuah kenderaan pikap kepada kira-kira 1,000 wanita berpakaian ungu, yang berarak dari kompleks membeli-belah Maju Junction ke Kompleks Pertama di ibu negara. 
Dr Siti Hasmah, 91, menggesa wanita untuk menentang "politik toksik", termasuk ketidakadilan terhadap wanita, kekejaman politik, penggunaan ancaman, perkauman, seksisme, ucapan kebencian, penyalahgunaan undang-undang dan mengabaikan perlembagaan persekutuan.

Tiada ulasan: